MCDU bakal ditubuh, percepat pelaksanaan projek negeri

Foto janaan AI/RTM

AYER KEROH, 11 September – Melaka Coordination and Delivery Unit (MCDU) bakal ditubuhkan bagi memantau secara komprehensif semua inisiatif, projek-projek kerajaan negeri serta projek kerjasama awam-swasta yang memerlukan perhatian khusus di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unit akan melibatkan dan menyelaras beberapa jabatan serta agensi untuk mempercepat pelaksanaan projek negeri.
  • Pelaksanaan pantas projek memberi imej positif kepada pelabur, menambah daya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Melaka.
  • Unit akan menilai penjawatan sedia ada, mengasingkan peranan untuk memantau serta menyelesaikan projek 'sakit' dengan pemantauan lebih khusus.
  • Pendekatan MELAKA (Mesra, Empati, Laju, Akal, Kerjasama, Agile) diperkenal sebagai panduan dan budaya kerja baharu perkhidmatan awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, unit yang dijangka direalisasikan dalam tempoh terdekat ini akan melibatkan beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang seterusnya mempercepatkan pelaksanaan projek-projek berkenaan.

Beliau berkata, kesegeraan dalam pelaksanaan sesuatu projek bukan sahaja mempercepat pembangunan, malah memberikan imej positif kepada pelabur dan entiti perniagaan terhadap kecekapan serta daya saing negeri, yang kemudiannya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Melaka.

“Unit ini akan melihat penjawatan sedia ada dan menyelarasnya untuk diasingkan sebagai satu unit yang akan memantau serta menyelaras projek-projek yang mempunyai isu dan sebagainya.

“Unit ini akan menyelaras usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek, khususnya projek-projek ‘sakit’. Dengan pemantauan yang lebih khusus, insya-Allah kita boleh mencari penyelesaian bagi memastikan projek-projek ini dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat dan Perjumpaan Bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan bagi Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2026 di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Sementara itu, Datuk Salhah berkata, dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri, beliau memperkenalkan pendekatan MELAKA yang merangkumi M – Mesra, E – Empati, L – Laju, A – Akal, K – Kerjasama dan A – Agile.

Katanya, pendekatan itu perlu menjadi panduan dan budaya kerja baharu perkhidmatan awam Melaka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.