
PUTRAJAYA, 11 September – Dakwaan wujud budaya ‘angguk’ dalam kalangan barisan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai asas yang jelas, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
- Menteri anggap dakwaan di luar konteks dan tanggungjawab beliau, tidak mahu memberi komen lanjut.
- Calon Presiden FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar mendakwa budaya angguk berdasarkan laporan AFC.
- Beliau menyeru kepimpinan baharu FAM utamakan kepentingan persatuan, rakyat dan peminat serta bekerja secara kolektif, bukan kepentingan individu.
Beliau berkata perkara itu juga di luar konteks dan tanggungjawabnya sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Justeru, tidak wajar untuk beliau mengulas lanjut mengenai dakwaan berkenaan.
“Saya tidak ingin melayan ataupun memberikan sebarang komen berkenaan apa juga percakapan yang mungkin di luar konteks dan tanggungjawab saya sebagai Menteri Belia dan Sukan. Saya tidak tahu siapa yang komen tentang perkara tersebut, ada yang mengatakan budaya angguk dan sebagainya, itu tidak ada satu asas yang jelas,” katanya.
Terdahulu, calon Presiden FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar mendakwa budaya berkenaan wujud berdasarkan laporan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Mengulas mengenai pemilihan serta pembentukan barisan kepimpinan baharu FAM, Dr. Mohammed Taufiq menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada persatuan berkenaan, namun mengingatkan barisan kepimpinan yang bakal dipilih supaya mengutamakan kepentingan bola sepak negara.
Katanya, kepimpinan baharu FAM perlu bekerja secara kolektif dan meletakkan kepentingan persatuan, rakyat serta peminat bola sepak sebagai keutamaan, bukannya kepentingan individu.
“Saya menyerahkan sebarang pemilihan dan juga sebarang pembentukan jawatankuasa dan sebagainya kepada persatuan.
“Tapi apa pun itu, persatuan mesti buat yang terbaik, bukan untuk sesiapa, bukan untuk diri sendiri. Yang lebih penting adalah untuk persatuan itu sendiri dan juga untuk rakyat Malaysia dan peminat-peminat sukan di tanah air kita,” katanya.