
KUALA LUMPUR, 12 September – Pandangan semua pihak termasuk mahasiswa, golongan akademik dan pentadbir universiti diambil kira dalam penggubalan akta baharu yang komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
- Menggubal akta baharu komprehensif untuk pendidikan tinggi, bukan hanya bagi masa kini tetapi juga masa depan negara.
- Proses libat urus dijalankan dengan pelbagai kumpulan, termasuk Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan.
- Akta baharu perlu mengambil kira perubahan besar dalam pendidikan tinggi sejak AUKU diperkenalkan lebih lima dekad lalu.
- Timbalan Perdana Menteri menyokong dasar 'no more AUKU' bagi menggantikan AUKU dengan rang undang-undang baharu yang menyeluruh.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan akta berkenaan mengambil kira perubahan dan keperluan pendidikan tinggi ketika ini serta masa hadapan.
Beliau berkata, proses libat urus dilaksanakan dengan pelbagai kumpulan termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), manakala Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan turut akan mengadakan perbincangan.
“Saya nak supaya satu akta komprehensif yang mengambil kira semua pandangan kerana kita ingin mewujudkan sebuah akta yang baharu, bukan untuk masa kini tetapi masa hadapan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Laman Media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.
Datuk Seri Dr Zambry berkata, penggubalan akta baharu itu perlu mengambil kira perubahan yang berlaku dalam tempoh lebih lima dekad sejak AUKU diperkenalkan.
Beliau berkata, pendirian bagi menggantikan AUKU turut dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar persidangan PAU semalam.
“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam ucapan beliau menyatakan ‘no more AUKU’ dan kita akan wujudkan sebuah akta baharu yang komprehensif,” katanya.
Menurut beliau, AUKU merangkumi aspek penubuhan universiti, tadbir urus dan perkara berkaitan mahasiswa, justeru pandangan semua pihak perlu diteliti bagi memastikan akta baharu itu menyeluruh dan relevan untuk masa hadapan.