
SAUDARA PENGARANG
- Kehidupan harian menghasilkan data; identiti digital disimpan di pelbagai sistem, dan rakyat sering tanpa sedar menyerahkan maklumat peribadi.
- Keselamatan bukan hanya teknologi; kawalan akses, pematuhan prosedur dan pengurusan manusia menentukan tahap perlindungan.
- Rakyat berhak tahu siapa melihat data mereka, mengapa, berapa lama simpanan, serta rekod akses dan pemberitahuan jika disalahgunakan.
- Kedaulatan digital memerlukan tanggungjawab bersama antara rakyat, industri dan kerajaan untuk melindungi privasi, identiti dan hak dalam era AI.
Apabila kita menyambut Hari Malaysia pada 16 September, kita meraikan lebih daripada sekadar tarikh pembentukan negara. Kita meraikan sebuah gagasan tentang kebersamaan, identiti dan kedaulatan Malaysia.
Namun kita kini di tahun 2026, kedaulatan sesebuah negara tidak lagi hanya ditentukan oleh sempadan wilayah, tanah, laut dan ruang udaranya.
Sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia kini tidak lagi terbatas dalam ruang fizikal, tetapi telah menjangkaui ruang digital yang semakin membentuk cara kita hidup, berinteraksi dan berurusan.
Hari ini, sebahagian besar kehidupan kita sudah diterjemahkan dalam bentuk data. Kita menggunakan aplikasi untuk membuat pembayaran, berkomunikasi, mendapatkan rawatan, membeli-belah, bekerja dan berurusan dengan kerajaan.
Nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan, lokasi, wajah, rekod transaksi dan tabiat penggunaan kita tersimpan dalam pelbagai sistem. Tanpa kita sedari, setiap hari kita menyerahkan sebahagian daripada identiti digital kita kepada pihak lain.
Maka, sempena Hari Malaysia, ada satu persoalan yang wajar kita fikirkan bersama. Jika Malaysia sebuah negara yang berdaulat, sejauh mana kita berdaulat terhadap data dan identiti digital kita sendiri?
Beberapa insiden berkaitan data peribadi yang mendapat perhatian masyarakat sebelum ini, termasuk isu melibatkan usahawan dan pencipta kandungan Khairul Aming, menunjukkan betapa pantas persoalan privasi boleh berubah daripada sesuatu yang abstrak kepada sesuatu yang sangat peribadi.
Namun, persoalan yang lebih besar bukan mengenai seorang individu atau sebuah organisasi. Ia mengenai kita semua.
Sedarkah kita bahawa keselamatan siber bukan semata-mata persoalan membina sistem yang sukar digodam? Teknologi hanyalah satu bahagian daripada keselamatan.
Di belakang setiap sistem ada manusia yang membangunkannya, organisasi yang menguruskannya, pekerja yang diberikan akses dan pengguna yang akhirnya menanggung kesannya apabila sesuatu berlaku.
Sebuah sistem boleh mempunyai teknologi keselamatan yang baik, tetapi masih berdepan risiko sekiranya kawalan akses terlalu luas, prosedur tidak dipatuhi atau seseorang menyalahgunakan keistimewaan yang diberikan kepadanya.
Sebab itu persoalan yang perlu kita tanyakan bukan lagi sekadar, “Adakah sistem ini selamat?”
Kita juga perlu bertanya siapa yang boleh melihat data kita, mengapa mereka memerlukannya dan berapa lama data itu disimpan. Kita juga berhak mengetahui sama ada setiap akses direkodkan dan, sekiranya berlaku penyalahgunaan, adakah kita akan dimaklumkan?
Jika masih ada yang beranggapan, “Saya bukan orang terkenal. Siapa yang mahu data saya?”, inilah persepsi yang perlu kita ubah.
Nilai sesuatu data tidak semestinya terletak pada satu maklumat secara bersendirian. Nombor telefon mungkin kelihatan biasa. Begitu juga alamat e-mel, nombor kad pengenalan, lokasi atau sejarah transaksi.
Tetapi apabila maklumat tersebut digabungkan, ia boleh membentuk gambaran terperinci tentang kehidupan seseorang.
Maklumat sebegini boleh digunakan untuk menghasilkan penipuan yang lebih meyakinkan, termasuk melalui social engineering, phishing, penyamaran identiti dan pelbagai bentuk manipulasi digital.
Dalam dunia kecerdasan buatan (AI), persoalan ini menjadi semakin penting kerana keupayaan teknologi untuk mengumpul, menghubungkan dan menganalisis sejumlah besar data semakin meningkat.
Maka, privasi bukan persoalan sama ada kita mempunyai sesuatu untuk disembunyikan. Privasi adalah hak untuk menentukan siapa yang mengetahui sesuatu tentang kita, untuk tujuan apa dan bagaimana maklumat itu digunakan.
Kita sering meminta pengguna supaya menggunakan kata laluan yang kukuh, mengaktifkan pengesahan dua faktor dan berhati-hati ketika berkongsi maklumat. Tidak dinafikan nasihat tersebut penting. Namun, ia terbatas kepada apa yang mampu dilakukan oleh seseorang pengguna.
Kita boleh mempunyai kata laluan paling kuat sekalipun, tetapi jika organisasi yang kita percayai mempunyai tadbir urus data yang lemah, pengguna masih boleh terdedah. Sebab itu keselamatan digital mesti menjadi tanggungjawab bersama antara rakyat, industri dan kerajaan.
Organisasi perlu mengamalkan prinsip mengumpulkan hanya data yang benar-benar diperlukan, mengehadkan akses berdasarkan tugas, memantau akses kepada maklumat sensitif serta mempunyai prosedur tindak balas yang jelas apabila berlaku insiden.
Pada masa yang sama, rakyat perlu diberikan kefahaman dan mekanisme yang mudah untuk mengetahui hak mereka, membuat aduan serta mendapatkan tindakan apabila data mereka disalahgunakan.
Kerana apabila seseorang menyerahkan data kepada sesebuah organisasi, yang diserahkan bukan sekadar beberapa baris maklumat. Yang diberikan ialah kepercayaan.
Pada 31 Ogos, dengan penuh semangat dan kemeriahan kita menyambut kemerdekaan tanah air. Pada 16 September pula, kita meraikan pembentukan Malaysia dan kebersamaan sebuah negara. Kedua-duanya berbicara tentang satu perkara yang sama, iaitu kedaulatan.
Generasi terdahulu mempertahankan kedaulatan wilayah dan hak menentukan masa depan negara. Generasi hari ini mempunyai satu lagi ruang yang perlu dipertahankan, iaitu ruang digital.
Malaysia sedang bergerak menuju sebuah negara yang semakin dipacu oleh AI, data dan perkhidmatan digital. Kita sememangnya perlu bergerak pantas supaya tidak ketinggalan.
Namun, menjadi negara digital yang maju bukan sekadar mempunyai AI paling pintar, aplikasi paling banyak atau sistem paling canggih. Kemajuan sebenar ialah apabila rakyat boleh menggunakan teknologi dengan selamat, yakin dan bermaruah.
Justeru, menjelang Hari Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita memperluaskan makna kedaulatan.
Dalam abad ke-21, kedaulatan negara tidak seharusnya hanya difahami melalui sempadan geografi. Kedaulatan juga perlu merangkumi bagaimana kita mempertahankan hak, privasi dan identiti rakyat dalam ruang digital.
Merdeka digital boleh dimaknai sebagai keadaan apabila teknologi memperkasakan rakyat tanpa menghakis hak mereka terhadap privasi, keselamatan dan identiti sendiri.
Sebuah negara mungkin mempunyai sempadan yang berdaulat. Namun dalam dunia digital, kedaulatan itu belum lengkap sekiranya rakyatnya tidak mempunyai keyakinan bahawa data mereka turut dilindungi selaras hak mereka sebagai manusia dan sebagai rakyat Malaysia.
Merdeka tanah air. Merdeka identiti. Merdeka data kita.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Nuur Alifah Roslan
Pensyarah Kanan
Jabatan Multimedia
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nuuralifah@upm.edu.my