
GEORGE TOWN, 11 September – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan penyaluran bantuan berjumlah RM15 bilion kepada usahawan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
- RM9 bilion telah disalurkan kepada kira-kira 250,000 usahawan.
- RM3.4 bilion pembiayaan baharu memanfaatkan 34,000 usahawan, termasuk akses pembiayaan pertama kali.
- Tambahan RM1 bilion dana mikrokredit membuka peluang, menjadikan jumlah mikrokredit sekitar RM6 bilion; TEKUN akan tambah amaun.
- KUSKOP tetapkan KPI bantu 10,000 usahawan tingkatkan skala perniagaan, setakat ini 6,580 telah berjaya.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, setakat ini, sebanyak RM9 bilion telah disalurkan kepada kira-kira 250,000 usahawan.
Daripada jumlah itu, RM3.4 bilion merupakan pembiayaan baharu yang memanfaatkan 34,000 usahawan, termasuk mereka yang memperoleh akses pembiayaan buat kali pertama.
Beliau berkata, tambahan RM1 bilion dana mikrokredit yang disediakan kerajaan baru-baru ini turut membuka peluang kepada lebih ramai usahawan mendapatkan pembiayaan.
“Pada tahun ini, kerajaan telah menyediakan lebih kurang RM5 bilion dari segi pinjaman mikrokredit, tambah RM1 bilion jadi RM6 bilion. RM1 bilion ini akan dibahagikan kepada beberapa agensi.
“TEKUN juga akan tambah amaun ke atas RM1 bilion itu supaya memberikan jumlah yang lebih besar. Skim yang dilaksanakan tetap akan berjalan, tetapi dengan jumlah yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan dan penyampaian kuih bulan kepada warga kerja RTM Pulau Pinang.
Menurut Steven, sehingga akhir Julai lalu, TEKUN Nasional telah menyalurkan kira-kira RM700 juta kepada lebih 31,000 usahawan.
Dalam pada itu, KUSKOP turut menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahun ini bagi membantu 10,000 usahawan meningkatkan skala perniagaan mereka.
Sehingga kini, sebanyak 6,580 usahawan telah berjaya menaik taraf skala perniagaan masing-masing.