
SAUDARA PENGARANG
- Rasulullah SAW sebagai qudwah hasanah: teladan utama untuk membentuk jati diri, sikap dan tingkah laku generasi muda.
- Menekankan pembentukan akhlak mulia: jujur, amanah, sabar dan beradab sebagai asas kehidupan dan integriti.
- Memupuk kasih sayang dan kelembutan dalam didikan, menghormati kanak-kanak serta memberi perhatian kepada golongan memerlukan.
- Menjaga pertuturan dan pergaulan: bertutur tepat, elak fitnah serta bertanggungjawab ketika berkomunikasi termasuk di media sosial.
Generasi muda merupakan aset penting dalam menentukan masa depan sesebuah masyarakat dan negara. Dalam menghadapi perkembangan teknologi, media sosial dan perubahan gaya hidup yang begitu pesat, golongan muda berhadapan dengan pelbagai cabaran akhlak dan moral.
Oleh itu, mereka memerlukan contoh teladan yang baik sebagai panduan dan role model dalam kehidupan. Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang wajar dijadikan ikutan kerana Baginda memiliki akhlak yang mulia serta sentiasa menunjukkan nilai kasih sayang, kejujuran, kesabaran dan amanah dalam setiap aspek kehidupan.
1. Rasulullah SAW sebagai Qudwah Hasanah
Rasulullah SAW merupakan contoh teladan terbaik bagi seluruh umat manusia, termasuklah generasi muda. Keperibadian Baginda yang luhur dapat menjadi panduan dalam membentuk jati diri, sikap dan tingkah laku yang positif. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 21:
Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat serta banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, 33:21)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW merupakan qudwah hasanah atau contoh ikutan terbaik. Oleh itu, sewajarnya generasi muda masa kini mencontohi akhlak Baginda agar dapat membina keperibadian yang unggul dan seimbang.
2. Membentuk Akhlak yang Mulia
Rasulullah SAW sangat menitikberatkan pembentukan akhlak yang baik dalam kehidupan. Baginda sentiasa menunjukkan sifat jujur, amanah, lemah lembut dan menghormati orang lain. Allah SWT sendiri memuji akhlak Rasulullah SAW melalui firman-Nya dalam Surah al-Qalam, ayat 4:
yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam, 68:4)
Dalil ini membuktikan ketinggian akhlak Rasulullah SAW. Generasi muda perlu menjadikan sifat-sifat tersebut sebagai asas dalam pergaulan, pembelajaran, penggunaan media sosial dan kehidupan seharian supaya lahir generasi yang beradab dan berintegriti.
3. Memupuk Kasih Sayang dan Sikap Lemah Lembut
Rasulullah SAW juga menunjukkan sifat kasih sayang kepada semua golongan, khususnya kanak-kanak dan golongan yang memerlukan perhatian. Baginda mendidik manusia dengan penuh hikmah, kelembutan dan kasih sayang. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 159:
Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah,engkau telah berlaku lemah lembut kepada mereka. Sekiranya engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali ‘Imran, 3:159)
Justeru itu, generasi muda perlu mengamalkan sikap saling menghormati, bertolak ansur dan menyayangi antara satu sama lain. Nilai ini amat penting bagi mengelakkan budaya buli, kebencian, penghinaan dan perbalahan yang semakin mudah berlaku, khususnya melalui media sosial.
4. Membentuk Generasi yang Jujur dan Amanah
Kejujuran dan amanah merupakan antara nilai utama yang perlu diterapkan dalam diri generasi muda. Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang yang benar dan amanah sehingga mendapat kepercayaan masyarakat. Islam turut menegaskan kepentingan amanah melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’, ayat 58:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya.” (Surah al-Nisa’, 4:58)
Generasi muda perlu menghayati nilai amanah dalam kehidupan, sama ada terhadap ibu bapa, guru, rakan, masyarakat mahupun tanggungjawab sebagai pelajar dan bakal pemimpin. Sikap jujur dan amanah dapat melahirkan individu yang dipercayai serta mempunyai integriti yang tinggi.
5. Menjaga Pertuturan dan Pergaulan
Rasulullah SAW juga menjadi contoh dalam menjaga tutur kata dan hubungan sesama manusia. Dalam era digital, generasi muda perlu lebih berhati-hati ketika berkomunikasi kerana kata-kata yang disampaikan melalui media sosial boleh memberi kesan kepada orang lain. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 70:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat dan benar.” (Surah al-Ahzab, 33:70)
Ayat ini mengajar generasi muda supaya sentiasa menjaga pertuturan dan sentiasa menggunakan bahasa yang baik.
Selain itu, mereka hendaklah mengelakkan fitnah, penghinaan, kata-kata kesat dan penyebaran maklumat yang tidak benar. Akhlak Rasulullah SAW wajar dijadikan panduan dalam membentuk komunikasi yang sopan, berhemah dan bertanggungjawab.
Kesimpulannya, Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam membentuk dan memperkukuh akhlak generasi muda. Keperibadian Baginda yang penuh dengan kejujuran, amanah, kasih sayang, kesabaran dan kelembutan amat relevan untuk diamalkan pada masa kini.
Generasi muda yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan bukan sahaja mampu membentuk peribadi yang baik, malah dapat menyumbang kepada pembentukan keluarga, masyarakat dan negara yang harmoni.
Oleh itu, penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah SAW perlu diperkasakan agar lahir generasi muda yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nadiah Ramlan
Pensyarah
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia