
NEW YORK, 11 September – Pilihan utama, Aryna Sabalenka menewaskan pemain pilihan tuan rumah Jessica Pegula 7-5, 6-2 untuk mara ke pentas akhir Terbuka AS pada Khamis.
- Sabalenka kini memburu gelaran ketiga berturut-turut di kejohanan Grand Slam itu.
- Beliau menghasilkan 29 pukulan kemenangan dan tujuh ace untuk menguasai perlawanan.
- Pegula gagal menandingi kuasa pukulan Sabalenka dan melakukan beberapa kesilapan mudah.
- Jika menjuarai Sabtu, Sabalenka akan jadi wanita pertama raih hatrik di Flushing Meadows sejak Serena.
Kemenangan berkenaan sekali gus mencerahkan peluangnya untuk meraih gelaran ketiga berturut-turut pada kejohanan Grand Slam berkenaan.
Pemain pilihan utama dari Belarus itu pada awalnya bergelut sebelum kembali menemui rentak terbaik sebelum menghasilkan 29 pukulan kemenangan dan tujuh ace untuk menamatkan perlawanan.
Pegula, pilihan ketiga dan naib juara 2024, gagal menandingi kekuatan pukulan Sabalenka, selain melakukan beberapa kesilapan mudah pada set kedua.
Pegula menyelamatkan mata break pada awal perlawanan menerusi pukulan forehand kemas, manakala Sabalenka menunjukkan tanda kecewa apabila menghentakkan raket ke gelanggang selepas melakukan kesalahan berganda pada permainan kesembilan.
Juara bertahan itu sekali lagi mencampakkan raketnya selepas Pegula mempertahankan servis pada permainan ke-10.
Namun Sabalenka kembali menemui rentak untuk mematahkan servis lawannya menerusi pukulan dari garisan belakang ketika mata set.
Sabalenka sekali lagi memanfaatkan senjata utamanya untuk mendahului 3-1 pada set kedua apabila melepaskan pukulan forehand kemenangan dari garisan belakang pada mata break, sebelum menutup perlawanan dengan satu lagi break.
Jika berjaya menjulang trofi pada Sabtu, Sabalenka akan menjadi pemain wanita pertama melakukan “hatrik” gelaran di Flushing Meadows sejak Serena Williams meraih gelaran ketiga berturut-turut 12 tahun lalu. – REUTERS.