Amanah: Bila janji lebih berat daripada nyawa

Foto janaan AI/ Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Amanah bukan sekadar tugas rasmi; ia memerlukan tanggungjawab, kejujuran, masa dan kadang pengorbanan.
  • Pendidikan sebagai amanah: masa dan ilmu guru membentuk masa depan pelajar; kecerobohan memberi beban kepada orang lain.
  • Kuasa dan jawatan membawa amanah besar; wang rakyat dan keputusan mesti diurus dengan penuh tanggungjawab.
  • Amanah diuji bila tiada siapa melihat; setiap insan akan dipertanggungjawabkan, utamakan kejujuran walau tiada ganjaran duniawi.

“Kami sudah ada janji dengan pesakit.”

Mungkin bagi sesetengah orang, ayat itu kedengaran biasa sahaja. Namun apabila kita mengetahui bahawa kata-kata itu diucapkan sebelum berakhirnya sebuah perjalanan kehidupan, ayat tersebut tiba-tiba terasa begitu berat.

Ada manusia yang berangkat kerana ada tugas yang perlu diselesaikan. Ada pesakit yang menunggu. Ada masyarakat yang memerlukan. Dan ada amanah yang perlu ditunaikan. Apakah sebenarnya erti amanah?

Amanah Bukan Sekadar Tugas

Kita sering kali menggunakan perkataan amanah dalam kehidupan seharian. Amanah dalam pekerjaan. Amanah sebagai ibu bapa. Amanah sebagai pendidik. Amanah sebagai pemimpin.

Namun, adakah kita benar-benar memahami betapa beratnya sebuah amanah? Amanah bukan sekadar tugasan yang tertera dalam surat lantikan. Bukan sekadar tugasan yang perlu disiapkan kerana ada ketua yang akan memeriksa.

Amanah bermaksud kita melakukan sesuatu dengan penuh tanggungjawab walaupun tiada siapa yang melihat. Sebab itu amanah ini kadangkala sangat berat.

Ia memerlukan masa. Memerlukan tenaga. Memerlukan kejujuran. Malah dalam keadaan tertentu, ia menuntut pengorbanan yang besar daripada diri sendiri.

Nahas helikopter yang mengorbankan petugas kesihatan ketika menjalankan khidmat kepada masyarakat di pedalaman Sarawak mengingatkan kita bahawa ada manusia yang mengambil serius amanah yang diberikan kepada mereka.

Mereka pergi kerana ada tugas, ada insan yang memerlukan dan ada janji yang perlu ditunaikan.

Amanah Seorang Pendidik

Dalam dunia pendidikan, amanah juga bukan perkara kecil. Seorang pendidik bukan sekadar datang ke pejabat, masuk ke kelas dan menyampaikan kuliah mengikut jadual.

Ada ilmu yang perlu disampaikan. Ada manusia yang sedang membina masa depan. Maka, masa seorang pendidik juga merupakan amanah dan perlu diberikan perhatian serius.

Ketika masa bekerja, tugas perlu diselesaikan, tanggungjawab perlu ditunaikan dengan sebaiknya. Bukan mengambil mudah dengan perkara-perkara ini sehingga akhirnya tugas sendiri dipikul oleh rakan sekerja.

Kadangkala kita menganggap perkara kecil sebagai sesuatu yang tidak memberi kesan.

“Lewat sedikit sahaja.” “Kerja itu boleh dibuat esok.” “Biar orang lain uruskan.”

Tetapi apabila perkara seperti ini menjadi kebiasaan, amanah yang kecil mula menjadi beban kepada orang lain.

Lebih menyedihkan apabila kita lupa bahawa pekerjaan kita mungkin berkait dengan kehidupan dan masa depan orang lain.

Seorang pensyarah mungkin hanya melihat dirinya sedang mengajar satu kelas. Tetapi bagi seorang pelajar, kelas itu mungkin menjadi sebahagian daripada perjalanan untuk menentukan masa depannya.

Semakin Tinggi Kedudukan, Semakin Besar Amanah

Jika seorang pendidik mempunyai amanah terhadap pelajarnya, pemimpin pula mempunyai amanah yang jauh lebih besar terhadap rakyat.

Semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin besar tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

Kuasa bukan keistimewaan untuk digunakan sesuka hati. Ia juga adalah amanah. Wang rakyat bukan milik peribadi. Ia perlu diurus dengan penuh tanggungjawab dan teliti.

Masa yang diberikan untuk memimpin bukan ruang untuk mengejar kepentingan sendiri. Setiap keputusan yang dibuat boleh memberi kesan kepada kehidupan orang lain.

Sebab itu pemimpin yang baik bukan hanya bijak membuat keputusan, tetapi memahami bahawa setiap keputusan itu datang bersama amanah.

Kita mungkin tidak berada di kerusi pemimpin. Namun, jangan kita fikir amanah hanya milik mereka yang mempunyai jawatan tinggi kerana setiap daripada kita mempunyai amanah masing-masing.

Amanah Ketika Tiada Siapa Melihat

Mungkin di sinilah ujian sebenar sebuah amanah.

Bukan ketika ada ketua berada di hadapan kita. Bukan ketika ada kamera sedang merakam. Bukan ketika ada orang sedang memandang.

Tetapi ketika tiada siapa yang melihat. Adakah kita masih melakukan perkara yang betul? Adakah kita masih menyiapkan kerja dengan sebaik-baiknya?

Adakah kita masih menggunakan masa dengan jujur? Adakah kita masih menjaga hak orang lain?

Amanah sebenar teruji apabila kita mempunyai pilihan untuk mengambil jalan mudah tetapi tetap memilih untuk melakukan perkara yang betul. Kerana manusia mungkin tidak tahu, tetapi hati kita tahu dan lebih penting, Allah SWT lebih mengetahui.

Kita Semua Akan Ditanya

Dalam Islam, amanah bukan sekadar nilai moral.tetapi ia juga adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan.

Sebab itu Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.

Persoalannya, di manakah kita meletakkan amanah yang diberikan kepada kita hari ini?

Adakah kita menjaganya? Atau masih menangguhkan lagi kerana mungkin esok masih ada.

Ada manusia yang tidak sempat pulang, tetapi sempat meninggalkan satu pengajaran yang besar kepada kita: Amanah perlu dilaksanakan selagi kita masih diberi kesempatan.

Kerana pada akhirnya, mungkin kita tidak akan dikenang kerana jawatan yang pernah kita pegang, berapa banyak wang yang pernah kita miliki atau berapa ramai manusia yang mengenali kita.

Kita akan dikenang kerana bagaimana kita menyempurnakan amanah yang pernah diberikan kepada kita.

Beramanahlah. Kerana orang yang amanah mungkin tidak selalu mendapat keuntungan di dunia. Tetapi mereka tidak pernah rugi kerana memilih untuk melakukan perkara yang benar.

Dan apabila tiba waktunya kita pergi, biarlah kita pergi dengan satu keyakinan: kita telah cuba menunaikan amanah yang diberikan kepada kita, sebaik mungkin, hingga ke hujung nyawa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Fauzun binti Abdullah Asuhaimi
Pensyarah Kanan
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
Universiti Sains Islam Malaysia
E-mel: fauzun@usim.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.