MOSTI perkukuh pemantauan radioaktif di perairan Malaysia

Datuk Chang Lih Kang pada Lawatan Kerja ke stesen GSWMS di Langkawi, hari ini/ RTM

LANGKAWI, 10 September- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkukuh pemantauan sebarang ancaman radioaktif di perairan Malaysia menerusi Sistem Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS).

RINGKASAN BERITA AI
  • GSWMS mengesan perubahan tahap sinaran secara masa nyata, membolehkan pengecaman awal terhadap perubahan luar biasa.
  • Keupayaan itu mempercepat tindakan susulan bagi melindungi keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
  • Sistem mengukur sinaran gama dan mengenal pasti isotop radioaktif secara berterusan, membantu mengesan pencemaran rentas sempadan.
  • Empat stesen GSWMS baharu dibangunkan kos lebih RM2.6 juta di lokasi pulau dan pelabuhan strategik.

Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata sistem berkenaan berupaya mengesan perubahan tahap radioaktif secara masa nyata, sekali gus membolehkan perubahan luar biasa dikenal pasti lebih awal.

Katanya, keupayaan itu membolehkan tindakan susulan dilaksanakan dengan lebih pantas bagi melindungi keselamatan rakyat dan alam sekitar.

“Selain daripada GSWMS, memang kita ada peranti untuk kita pasang di darat. Sekarang kita ada 17 dan kita akan tambah lagi 17 ERMS dan GTERMS,” katanya pada Lawatan Kerja ke stesen GSWMS di sini hari ini.

GSWMS merupakan sistem pemantauan masa nyata yang berupaya mengesan dan mengukur tahap sinaran gama di perairan serta mengenal pasti isotop radioaktif secara berterusan.

Sistem itu turut membantu mengesan pencemaran radioaktif dan ancaman rentas sempadan, selain memastikan data pemantauan perairan tersedia secara berterusan tanpa bergantung kepada sumber luar.

Empat stesen GSWMS baharu itu dibangunkan dengan kos lebih RM2.6 juta, termasuk satu di Langkawi yang terletak di Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Tiga lagi stesen masing-masing terletak di Pulau Tioman, Pahang; Pulau Perhentian, Terengganu dan Jeti Pelabuhan Bintulu, Sarawak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.