Isu baja: SPRM tidak tolak kemungkinan panggil KSU, menteri

Datuk Seri Abdul Halim Aman/ RTM

PUTRAJAYA, 10 September- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan menteri berkaitan bagi membantu siasatan berhubung isu agihan baja padi tambahan di Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM Kedah buka kertas siasatan 26 Ogos berhubung bekalan baja padi tambahan di kawasan MADA.
  • Siasatan awal tunjuk syarikat sepatutnya bekalkan 616,015 beg, tetapi hanya 333,655 beg dibekal hingga September 2026.
  • SPRM panggil 13 individu dan akan jalankan analisis kewangan serta rekod percakapan pegawai dan penerima di 23 PPK.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan isu berkenaan akan dipanggil bagi melengkapkan proses siasatan.

“Bukan setakat KSU… menteri pun nanti kalau perlu kami akan panggil. Arahan saya kepada pegawai penyiasat, penyiasatan perlu dilakukan secara menyeluruh.

“Maknanya dalam sesuatu penyiasatan itu, contohnya melibatkan polisi, pelaksanaan, tender dan sebagainya, sesiapa saja yang ada hubung kait dengan perkara tersebut akan dipanggil dan diambil keterangan bagi melengkapkan proses penyiasatan.

“Penyiasatan perlu adil, telus dan profesional,” katanya selepas sesi wawancara di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Beliau berkata, SPRM Kedah membuka kertas siasatan pada 26 Ogos lepas berhubung isu bekalan baja padi tambahan kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Katanya, siasatan membabitkan sebuah syarikat yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membekal, menghantar serta mengedar baja padi tambahan di bawah Skim Inisiatif Pengeluaran Padi di kawasan MADA seluas 100,000 hektar.

Menurut beliau, siasatan masih di peringkat awal dan setakat ini 13 individu telah dipanggil bagi merakam keterangan termasuk Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai MADA dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Beliau berkata, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja kepada pesawah bagi musim pertama, namun setakat September 2026, sebanyak 333,655 beg telah dibekalkan.

SPRM juga akan menjalankan analisis kewangan terhadap syarikat dan akaun berkaitan selain merekodkan percakapan pegawai serta penerima baja di 23 PPK yang terlibat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.