JPJ beri 14 hari kepada 940 syarikat selesai saman

Datuk Aedy Fadly Ramli (kanan)/ RTM

IPOH, 10 September- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tempoh 14 hari bermula esok kepada lebih 900 syarikat kenderaan barangan dan lima syarikat bas di seluruh negara untuk menyelesaikan saman tertunggak, sebelum tindakan lebih tegas diambil.

RINGKASAN BERITA AI
  • 940 syarikat kenderaan barangan rekod lebih 20 saman setiap satu, melibatkan lebih 40,000 saman (2023–2026).
  • Lima syarikat bas merekodkan keseluruhan 373 saman tertunggak.
  • JPJ akan maklumkan APAD untuk menggantung permit, tahan dan sita kenderaan, serta dedahkan senarai syarikat melalui media sosial.
  • JPJ berbincang dengan KPDN untuk tindakan terhadap kedai aksesori yang menjual alat tidak diluluskan; operasi bersepadu dirancang.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata 940 syarikat kenderaan barangan berkenaan masing-masing mempunyai lebih 20 saman tertunggak membabitkan lebih 40,000 saman bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Bagi kategori bas pula, lima syarikat berkenaan merekodkan keseluruhan 373 saman tertunggak.

“Kita akan bekerjasama dengan memaklumkan pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menggantung permit syarikat berkenaan.

“Sekiranya kenderaan ini berada di jalan raya,  JPJ di setiap negeri akan mengambil tindakan menahan dan menyita kenderaan sehingga saman diselesaikan,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

Beliau berkata senarai syarikat terbabit turut akan didedahkan menerusi media sosial JPJ.

Dalam perkembangan lain, JPJ sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menentukan tindakan terhadap premis yang menjual aksesori kenderaan tidak mendapat kelulusan.

Datuk Aedy berkata kedai aksesori berada di bawah bidang kuasa KPDN dan kerjasama antara kedua-dua pihak diperlukan bagi menangani penjualan aksesori berkenaan.

“Untuk kedai aksesori, kedai-kedai ini berada di bawah bidang kuasa KPDN. Kami sedang mengadakan perbincangan mengenai hala tuju tindakan kerajaan terhadap kedai yang menjual aksesori yang tidak mendapat kelulusan,” katanya.

Sebelum ini, JPJ Perak memaklumkan akan bekerjasama dengan KPDN bagi mengekang penawaran alat ganti yang menyumbang kepada pengubahsuaian ekstrem kenderaan termasuk menerusi operasi bersepadu membabitkan syarikat dan kedai alat ganti yang dirancang dalam masa terdekat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.