Reformasi perkhidmatan awam berorientasikan rakyat

Foto Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

SHAH ALAM, 10 September – Resolusi Konvensyen Perkhidmatan Awam 2026 diterjemahkan kepada tindakan nyata, boleh diukur dan dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan reformasi dapat dilaksanakan secara berkesan dengan tumpuan bukan semata-mata kepada pihak yang melaksanakan dasar, sebaliknya kepada rakyat sebagai penerima manfaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan Lima Teras, 20 Strategi, 38 inisiatif dilaksanakan menerusi pendekatan berkaitan dan bersepadu.
  • 447 projek Reformasi Kerenah Birokrasi menghasilkan penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.95 bilion.
  • Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dirangka inklusif, berpaksi pengalaman dan kepakaran penjawat awam untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, dalam usaha memastikan agenda itu terus digerakkan, Lima Teras Keberhasilan Reformasi, 20 Strategi Keberhasilan Reformasi dan 38 inisiatif dilaksanakan menerusi penerapan pendekatan berkaitan dan bersepadu.

“Pelbagai lakaran kejayaan telah dicipta, termasuk pelaksanaan 447 projek Reformasi Kerenah Birokrasi yang menghasilkan penjimatan kos pematuhan RM2.95 bilion.

“Pemanfaatan pendigitalan secara menyeluruh serta peningkatan kedudukan Malaysia dalam penarafan daya saing global juga mencerminkan kemajuan yang telah dicapai.

“Kesemua pencapaian ini terhasil daripada komitmen berterusan serta tindakan yang jelas dan bersepadu oleh semua pihak,” katanya pada Majlis Penutupan Konvensyen Perkhidmatan Awam 2026 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim.

Sementara itu, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menjadi kerangka utama dalam melaksanakan penambahbaikan secara menyeluruh terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam dirangka berdasarkan hasil sumbang saran dan pandangan kumpulan besar penjawat awam yang mewakili semua kementerian.

Perkara itu, sekali gus mencerminkan pendekatan yang inklusif serta berpaksi pengalaman dan kepakaran warga perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, ucapan penghargaan turut disampaikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan UiTM, serta semua pembentang, peserta dan pihak terlibat dalam menjayakan Konvensyen Perkhidmatan Awam 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.