Bekas pengerusi, CEO dan CFO Tabung Haji antara lima ditahan bantu siasatan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 9 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu, termasuk bekas Pengerusi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Lembaga Tabung Haji (TH), bagi membantu siasatan berkaitan institusi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga individu disiasat berhubung pembayaran hibah Tabung Haji bagi tahun 2017.
  • Dua lagi ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta AMLA 2001.
  • Seorang daripada suspek adalah kakitangan Tabung Haji yang masih berkhidmat.
  • PDRM menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi dan rujuk hanya saluran rasmi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua suspek ditahan pada 8 September dan terdiri daripada tiga lelaki serta dua wanita berusia antara 48 hingga 70 tahun.

Beliau berkata, seorang daripada mereka merupakan kakitangan TH yang masih berkhidmat.

Menurutnya, tiga individu disiasat berhubung isu pembayaran hibah Tabung Haji bagi tahun 2017, manakala dua lagi ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Mahkamah membenarkan tiga daripada suspek direman selama dua hari bermula hari ini hingga 10 September, manakala dua lagi direman selama tiga hari sehingga 11 September.

Siasatan masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, PDRM mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana tindakan berkenaan boleh menjejaskan proses siasatan.

Masyarakat turut dinasihatkan mendapatkan maklumat berkaitan kes itu hanya daripada saluran rasmi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.