YDP Agong berangkat ke Majlis Sambutan 120 tahun Jabatan Audit Negara

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

PUTRAJAYA, 9 September – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara (JAN) di Dewan Damar Sari, Kompleks F, Putrajaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Audit Negara menandakan 120 tahun sejak 1906, terus memastikan pengurusan kewangan awam telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
  • Penandatanganan Plak 120 Tahun JAN melambangkan kesinambungan amanah institusi dalam memperkukuh akauntabiliti dan tadbir urus kewangan awam.
  • JAN memperkukuh pengauditan melalui pendigitalan, data analitik, data raya dan kecerdasan buatan bagi audit lebih komprehensif, pantas serta berintegriti.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 12 tengahari disambut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Tahun ini menandakan genap 120 tahun penubuhan JAN sejak tahun 1906. Sepanjang perjalanan tersebut, JAN terus melaksanakan amanah sebagai institusi audit tertinggi negara dalam memastikan pengurusan kewangan awam dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan penandatanganan Plak 120 Tahun JAN simbolik kepada legasi 120 tahun JAN yang merupakan kesinambungan amanah institusi tersebut dalam memperkukuh akauntabiliti dan tadbir urus kewangan awam negara.

Terdahulu, sembah ucapan menjunjung kasih, Ketua Audit Negara turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda berangkat bercemar duli menyempurnakan majlis bersejarah tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa JAN terus memainkan peranan sebagai nadi semak dan imbang negara melalui pelaksanaan pengauditan yang bebas, profesional dan berintegriti bagi memastikan pengurusan dana awam dilaksanakan secara berhemat serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

“Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Parlimen sebanyak dua kali setahun. Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun melaporkan mengenai penyata kewangan persekutuan dan agensi, aktiviti kementerian, jabatan, badan berkanun persekutuan dan pengurusan syarikat persekutuan serta aktiviti kementerian, jabatan badan berkanun negeri dan pengurusan syarikat negeri.

“Sejajar dengan sambutan 120 tahun Jabatan Audit Negara pada tahun ini, tema “Menjunjung Amanah: Audit Berkualiti, Meningkatkan Akauntabiliti” telah diangkat bagi memastikan Jabatan Audit Negara terus memperkukuh peranan dalam menjunjung amanah yang diberikan.

“Seiring dengan usia institusi ini dan perkembangan teknologi semasa, Jabatan Audit Negara terus melaksanakan projek pendigitalan perkhidmatan Jabatan Audit Negara, PPJ dalam memperkukuh pengauditan dengan memanfaatkan keupayaan teknologi data analitik, data raya, serta kecerdasan buatan (AI).

“… seterusnya menyokong perauditan yang lebih komprehensif, pantas dan responsif, sambil menjamin integrity serta keselamatan maklumat yang optimum”, katanya.

Majlis turut di serikan dengan tayangan video 120 Tahun Jabatan Audit Negara.

Majlis Sambutan 120 Tahun JAN ini merupakan acara kemuncak dan penutup rasmi kepada pelbagai program Sambutan Ulang tahun ke-120 Jabatan Audit Negara yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2026.

Sepanjang sambutan, pelbagai program telah dilaksanakan bagi memperingati sumbangan JAN kepada negara antaranya Majlis Pelancaran Sambutan 120 Tahun JAN, Larian 120 Tahun JAN (Audit Run), Khutbah Jumaat Khas dimasjid terpilih seluruh negara serta Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara 2026.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran duta-duta dan perwakilan diplomatik dari rantau ASEAN, Arab Saudi, India dan Turkiye.

Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Abdul Halim Aman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Abd Shukor Mahmood.

Sultan Ibrahim berangkat meninggalkan majlis pada 1 tengah hari.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.