Pemandu MPV berdepan lima tuduhan termasuk akibatkan kematian, cubaan bunuh

Tiada jaminan dan mahkamah menetapkan kes disebut semula 2 Disember depan

KULAI, 9 September – Seorang pemandu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas lima pertuduhan termasuk mengakibatkan kematian dan cubaan membunuh empat individu, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa menyebabkan kematian remaja 17 tahun di Bulatan Persiaran Indahpura 4 pada 25 Ogos, antara 12.20 hingga 12.33 malam.
  • Tertuduh turut berdepan empat pertuduhan cubaan membunuh mangsa berumur 15 hingga 20 tahun di Jalan Kiambang 9 dan Bulatan Persiaran Indahpura 4.
  • Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan; tertuduh tidak diwakili peguam.
  • Mahkamah tidak membenarkan jaminan; kes disebut semula 2 Disember untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Tertuduh, Choo De Hui, 26 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret R. Salini.

Mengikut pendakwaan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang remaja berusia 17 tahun di Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai, antara pukul 12.20 hingga 12.33 tengah malam pada 25 Ogos lepas.

Tertuduh turut berdepan empat pertuduhan cubaan membunuh empat individu berusia antara 15 hingga 20 tahun di Jalan Kiambang 9 dan Bulatan Persiaran Indahpura 4, pada tarikh dan masa sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan dengan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Weng Hong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan kes disebut semula 2 Disember depan bagi serahan laporan kimia serta bedah siasat.

Dalam prosiding berasingan, empat remaja berusia 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin bahagian belakang dan hadapan sebuah kereta sehingga menyebabkan kerugian kepada Lai Yun Zhe Jeff, 20 tahun di Bulatan Persiaran Indahpura 4, pada tarikh sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan (KK), dibaca bersama Seksyen 34 KK.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin ibu bapa atau penjaga.

Sebutan semula kes ditetapkan 28 Oktober ini bagi serahan dokumen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.