PFAA kemuka enam cadangan polisi, perkasa agenda digital belia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 September – Persatuan Alumni Perdana Fellow (PFAA) mengemukakan enam cadangan polisi utama berteraskan digital, teknologi hijau dan dasar kerajaan bagi memastikan keperluan golongan belia diberi perhatian dalam pembentukan dasar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat meja bulat PFAA bersama YEF dan Pejabat Menteri Digital mendapatkan maklum balas kementerian dan industri tentang kebolehlaksanaan kertas polisi.
  • Belia perlukan hala tuju kerajaan yang jelas untuk pembangunan ekosistem digital dan hijau serta peluang pekerjaan selaras kemahiran digital dan AI.
  • Cadangan termasuk insentif cukai bagi setiap kes penggunaan AI berjaya dan pengiktirafan kemahiran melalui Micro-Credit Stacking mempercepatkan peningkatan kemahiran.

Cadangan itu dibincangkan menerusi sesi meja bulat tertutup anjuran PFAA dengan kerjasama Youth Economic Forum (YEF) bersama Pejabat Menteri Digital, yang turut dihadiri Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Presiden PFAA, Fanisyara Kam Phon berkata, sesi berkenaan bertujuan mendapatkan maklum balas kementerian dan pihak industri mengenai kebolehlaksanaan cadangan polisi yang dirangka, selain menilai potensi impaknya kepada pembangunan negara.

Menurutnya, lebih 95 peratus belia kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, justeru mereka memerlukan hala tuju yang lebih jelas daripada kerajaan berhubung pembangunan ekosistem digital dan hijau.

“Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan peluang pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran serta keupayaan digital yang dimiliki golongan belia.

“Polisi ini perlu mendapat pandangan semua pihak, bukan hanya daripada belia. Kita sudah mengadakan sesi perundingan bersama belia, manakala hari ini kita mendapatkan pandangan industri dan pihak kementerian.

“Kita mahu polisi ini mendapat maklum balas daripada kementerian dari segi realistik dan sejauh mana ia mampu membawa perubahan kepada Malaysia,” katanya kepada media ketika menghadiri sesi perbincangan meja bulat 2026 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kertas polisi berkenaan turut disasarkan untuk dibawa kepada Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak Youth Economic Forum yang dijadualkan pada 3 Oktober depan.

Dalam pada itu, PFAA turut mengemukakan dua resolusi utama berkaitan sektor digital, termasuk pelaksanaan insentif cukai bagi setiap kes penggunaan (use case) AI yang berjaya.

Cadangan kedua ialah pengiktirafan kemahiran menerusi sistem Micro-Credit Stacking, yang membolehkan kredit mikro bagi kemahiran AI dan digital dikumpulkan secara berperingkat sehingga membentuk kelayakan peringkat sarjana.

Fanisyara berkata, pendekatan itu dapat mempercepat proses peningkatan kemahiran dan pemindahan kemahiran baharu tanpa memerlukan tempoh pengajian yang panjang.

Sesi itu disertai hampir 20 peserta terdiri daripada PFAA, jawatankuasa YEF, pemain industri serta pertubuhan belia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.