
GERIK, 8 September – Enam pendaki yang lewat keluar dari kawasan pedalaman Gerik sebenarnya tidak sesat, sebaliknya masih mengetahui kedudukan mereka sepanjang berada di dalam hutan.
- Laluan sukar menyebabkan kumpulan hanya bergerak 2-3 km sehari, jauh dari sasaran 8-10 km.
- Laluan terhalang rotan dan buluh, kumpulan memilih turun ke Kampung Orang Asli Agek kerana sumber air.
- Malim mencadangkan penggunaan telefon satelit sebagai langkah tambahan kepada sistem GPS untuk pendakian akan datang.
Salah seorang pendaki, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, berkata keadaan laluan yang sukar menyebabkan mereka hanya mampu bergerak antara dua hingga tiga kilometer sehari, berbanding sasaran lapan hingga 10 kilometer.
“Sebenarnya dalam hutan kami terkawal. Kami tahu keberadaan kami. Kami tahu makanan kami. Kami tahu kami tidak cedera. Jadi kami tidak sesat pun sebenarnya.
“Cuma kami risau keluarga akan buat laporan kepada polis dan benda ini akan terjadi,” katanya kepada RTM.
Ekspedisi berkenaan merupakan pendakian rentas gunung kelapan Wan Ahmad Aslam bersama keluarganya.
Sementara itu, malim gunung, Shafiee Sidek, 49, berkata pendakian ke Gunung Sepat dan Gunung Belatoh sememangnya termasuk dalam perancangan asal.
Bagaimanapun, perjalanan dari Gunung Biyeh menuju Gunung Sepat menjadi perlahan apabila mereka terpaksa menebas rotan dan buluh yang menghalang laluan.
Menurutnya, kumpulan itu kemudian memilih laluan menuju Kampung Orang Asli Agek selepas mengambil kira tempoh perjalanan serta sumber air.
“Kalau patah balik tiga hari. Turun tiga hari, lebih baik turun ke Agek tiga hari berbanding patah balik. Sebab patah balik tak ada air, turun ada air. Saya pilih yang ada air,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar penggunaan telefon satelit dipertimbangkan bagi pendakian akan datang sebagai langkah tambahan kepada sistem GPS yang digunakan malim gunung.
Sebelum ini, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos.
Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 September dan ahli keluarga membuat laporan polis pada Isnin lalu.