
KUANTAN, 8 September – Tiga lelaki ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang selepas disyaki menyalahgunakan fleet card bagi pengisian diesel secara berulang.
- Tiga lelaki ditahan oleh KPDN Pahang disyaki salah guna fleet card untuk pengisian diesel.
- Kes dikesan semasa operasi Op Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Lembing, Kuantan.
- Disita kira-kira 200 liter disyaki diesel, 10 jerry can, kenderaan, fleet card; sitaan dianggarkan RM81,000, suspek ditangkap bawah Seksyen 10(1) Akta Kawalan Bekalan.
KPDN Pahang menerusi satu kenyataan media memaklumkan, kesalahan itu dikesan menerusi pelaksanaan operasi bersepadu Op Tiris 4.0 semalam, di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Lembing, Kuantan.
Dalam operasi itu, pihaknya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki melakukan pengisian minyak diesel secara berulang ke dalam beberapa tong yang ditempatkan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, tiga individu berusia anggaran 30 hingga 40 tahun itu gagal mengemukakan dokumen atau permit sah berkaitan pembelian dan pemilikan barang kawalan tersebut”, menurut kenyataan itu.
Siasatan awal turut mendapati, pengisian minyak diesel berkenaan disyaki menggunakan fleet card yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat pengangkutan.
Susulan itu, KPDN menyita kira-kira 200 liter cecair petroleum yang disyaki minyak diesel, 10 tong jerry can, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan fleet card, dengan keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM81,000 untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ketiga-tiga individu berkenaan turut ditangkap di bawah Seksyen 10(1), Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi membantu siasatan.
Tegasnya, KPDN Negeri Pahang akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan tidak diseleweng, serta sampai kepada pengguna dan sektor sepatutnya.