
SAUDARA PENGARANG
- Penjajahan kewangan muncul melalui BNPL, kad kredit dan pinjaman peribadi, menjerat belia dalam kitaran hutang walau tampak sebagai kebebasan berbelanja.
- Punca utama: budaya BNPL, tekanan media sosial untuk berbelanja dan akses kredit digital yang diluluskan tanpa penilaian kredit menyeluruh.
- Kesan nyata termasuk peningkatan kebankrapan belia, beban faedah kompaun, dan kehilangan kebebasan memilih masa depan ekonomi.
- Merebut kembali merdeka kewangan melalui literasi kewangan, dana kecemasan, penguatkuasaan undang-undang kredit, peranan AKPK dan pendidikan kewangan di institusi.
Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu melafazkan kemerdekaan daripada penjajahan British selepas hampir satu abad dijajah.
Hampir tujuh dekad kemudian, kita menyambut Merdeka setiap tahun dengan penuh bangga, mengibarkan Jalur Gemilang dan mengenang pengorbanan pejuang silam.
Namun, di sebalik gemerlap sambutan itu, satu bentuk penjajahan baharu sedang menular dalam kalangan generasi muda negara ini secara senyap tetapi meluas, iaitu penjajahan kewangan.
Penjajahan ini datang daripada godaan gaya hidup ‘aestetik’ dan mewah dengan segera, menjadikan ramai belia terperangkap dalam kitaran hutang sebelum sempat memulakan kerjaya dengan sepenuhnya.
Bayangkan, seorang graduan baru mula bekerjaya dengan gaji sederhana. Dalam masa beberapa bulan sahaja, telefon pintar model terbaharu dibeli secara ansuran, pakaian dan kasut berjenama dibeli menggunakan kad kredit.
Lebih membimbangkan ada yang bertindak mengambil pinjaman peribadi untuk menampung kos perkahwinan atau percutian bersama-sama rakan.
Setiap perbelanjaan kelihatan kecil dan terkawal pada permulaannya. Namun, apabila digabungkan, ansuran bulanan mula menelan sebahagian besar gaji sebelum sempat menampung keperluan asas.
Inilah realiti yang dihadapi ramai belia hari ini, iaitu satu keadaan di mana kebebasan memilih yang dijanjikan oleh kemudahan kredit sebenarnya menjadi belenggu yang menyekat kebebasan sebenar.
Angka yang Membimbangkan
Statistik terkini akan jumlah kebankrapan dalam kalangan belia memberi gambaran yang tidak boleh dipandang remeh. Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, sebanyak 6,776 kes kebankrapan baharu direkodkan pada 2025 berbanding 5,977 kes pada 2024.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut membangkitkan kebimbangan apabila mendedahkan sebanyak 877 kes kebankrapan membabitkan golongan berusia 18 hingga 40 tahun direkodkan pada 2024, berbanding 727 kes pada 2023.
Beliau memberi amaran bahawa belia yang muflis pada usia 40 tahun berisiko bergantung kepada bantuan kebajikan sepanjang hayat mereka.
Punca utama fenomena ini tidak lagi asing, iaitu skim Beli Sekarang Bayar Kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL), penggunaan kad kredit tanpa kawalan, dan pinjaman peribadi untuk membiayai gaya hidup.
Jumlah baki tertunggak BNPL di Malaysia melonjak daripada RM4.9 bilion pada penghujung 2025 kepada RM5.3 bilion menjelang Mac 2026, dengan hampir 40 peratus daripada lapan juta pengguna aktif berusia 30 tahun ke bawah.
Bank Negara Malaysia turut mencatatkan lebih 83 juta transaksi BNPL bernilai RM7.1 bilion dalam separuh kedua 2024 sahaja.
Satu tinjauan terhadap lebih 40,000 pengguna oleh penyedia kemudahan BNPL tempatan mendapati 81 peratus menggunakannya untuk menampung keperluan mendesak dan kecemasan dan bukannya kemewahan.
Daripada jumlah itu, 57 peratus menggunakannya untuk mengurus aliran tunai bulanan, 46 peratus bagi kelangsungan hidup sehingga hari gaji, dan 32 peratus semasa perbelanjaan luar jangka.
Wajah Penjajahan Kewangan Moden
Jika penjajahan tradisional menakluk wilayah dan mengaut hasil bumi sesebuah negara, penjajahan kewangan moden menakluk minda dan masa depan belia. Ia beroperasi melalui beberapa mekanisme yang sangat berkesan.
Pertama, budaya beli sekarang bayar kemudian yang menampakkan hutang tidak berbahaya kerana bayarannya kecil dan dipecahkan kepada ansuran.
Kedua, tekanan media sosial yang mencetuskan budaya perbandingan, di mana belia berbelanja bukan untuk keperluan tetapi sekadar mahu kelihatan setanding rakan sebaya dalam talian serta memenihu kehendak ‘tidak mahu dianggap ketinggalan’ atau ‘fomo’.
Ketiga, kemudahan akses kredit digital yang membolehkan pembiayaan diluluskan dalam hitungan minit tanpa penilaian kredit yang mendalam.
Gabungan ketiga tiga faktor ini mewujudkan satu ekosistem di mana belia terus berbelanja melebihi kemampuan. Walhal sistem kewangan itu sendiri mengaut keuntungan melalui faedah dan caj lewat bayar daripada mereka.
Faktor yang sering diabaikan ialah kuasa faedah kompaun, yang boleh bertindak menguntungkan apabila dimanfaatkan untuk menabung dan melabur, tetapi menjadi bebanan berat apabila melibatkan liabiliti hutang.
Baki kad kredit yang tidak dijelaskan sepenuhnya setiap bulan boleh mengenakan kadar faedah tahunan yang tinggi.
Sekiranya hanya bayaran minimum dibuat secara berterusan, jumlah hutang boleh berkembang jauh lebih pantas daripada kemampuan pendapatan seseorang belia untuk melunaskannya.
Inilah bentuk penjajahan yang paling halus kerana mangsanya sering tidak sedar bahawa mereka sedang dieksploitasi, sebaliknya merasakan mereka sedang menikmati kebebasan berbelanja.
Riba sebagai Penjajah yang Halus tetapi Merosakkan
Dari sudut pandangan Islam, peringatan terhadap riba sudah termaktub jelas dalam al Quran, antaranya menerusi Surah al Baqarah ayat 275 yang menegaskan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.
Riba bukan sekadar isu hukum halal haram semata mata, tetapi satu sistem yang memperhambakan peminjam kepada pembiaya melalui kitaran faedah yang berpanjangan.
Apabila belia terjebak dengan kad kredit berfaedah tinggi atau pinjaman peribadi tanpa memahami kesan faedah kompaun, mereka sebenarnya sedang menggadaikan kemerdekaan kewangan mereka kepada institusi kewangan.
Prinsip muamalat Islam menawarkan penyelesaian mampan melalui konsep seperti mudarabah, musyarakah serta penekanan terhadap sikap berjimat cermat dan larangan pembaziran atau israf.
Ini bukan sahaja soal tuntutan agama, tetapi disiplin kewangan yang amat relevan untuk seluruh belia tanpa mengira latar belakang.
Merebut Kembali Kemerdekaan Kewangan
Membebaskan belia daripada cengkaman kewangan ini memerlukan usaha pada dua peringkat, iaitu peringkat individu dan peringkat sistemik.
Pada peringkat individu, belia perlu membina literasi kewangan asas seperti kemahiran belanjawan berpandukan keutamaan keperluan, kehendak dan simpanan, pembentukan dana kecemasan sekurang kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan, serta kefahaman tentang kesan faedah kompaun ke atas hutang.
Budaya menabung dan melabur secara berdisiplin, walaupun dalam jumlah kecil, perlu dipupuk seawal mungkin kerana tempoh masa dalam pelaburan merupakan aset paling berharga yang dimiliki golongan muda.
Belia juga perlu berani menolak tekanan gaya hidup di media sosial dan bijak membezakan antara keperluan dengan kehendak, sekali gus mengamalkan perbelanjaan secara sedar dan bertanggungjawab.
Pada peringkat sistemik pula, inisiatif kerajaan memperkenalkan Akta Kredit Pengguna yang meletakkan penyedia BNPL di bawah kawal selia Suruhanjaya Kredit Pengguna merupakan langkah tepat bagi memastikan industri ini beroperasi secara beretika.
Namun, usaha ini perlu disokong dengan pendidikan literasi kewangan yang lebih komprehensif dalam kurikulum sekolah dan institusi pengajian tinggi, bukan sekadar modul sisipan, sebaliknya sebahagian daripada kemahiran asas kelangsungan hidup.
Agensi seperti AKPK wajar diperkasakan fungsinya untuk mendekati golongan belia secara proaktif sebelum mereka terjerumus dalam masalah hutang, bukan hanya bertindak selepas krisis berlaku.
Majikan dan institusi pendidikan tinggi juga boleh memainkan peranan dengan menganjurkan bengkel celik kewangan secara berkala kepada pekerja dan mahasiswa muda.
Pada masa yang sama, platform digital yang menawarkan kemudahan kredit wajar memaparkan peringatan risiko secara lebih telus dan jelas.
Merdeka Sejati Bermula daripada Diri
Hampir tujuh dekad selepas bebas daripada penjajahan British, sudah tiba masanya belia Malaysia merebut satu lagi kemerdekaan yang tidak kurang pentingnya, iaitu kemerdekaan kewangan.
Merdeka bukan sekadar bebas daripada kekuasaan asing, tetapi juga bebas daripada belenggu hutang yang mencuri masa depan, ketenangan dan potensi generasi muda.
Setiap ringgit yang dibelanjakan secara bijak, setiap hutang sia sia yang dielakkan, dan setiap sen yang disimpan adalah satu langkah bermakna ke arah kemerdekaan yang lebih besar.
Belia yang bebas dari segi kewangan bukan sahaja berupaya mencorak masa depan mereka sendiri, malah menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah negara yang benar benar merdeka dan berdaulat, selaras dengan erti kemerdekaan yang kita raikan saban tahun.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mohamad Azwar Kamaruzaman
Pensyarah Pengurusan Perniagaan
KPM Ayer Molek
E-mel: azwarkamaruzaman@gmail.com