Lima bola kehidupan: Jangan sampai kaca pecah kerana mengejar getah

Foto janaan AI/ RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan Keluarga, Kesihatan, Sahabat dan Rohani; mereka 'bola kaca' yang tidak akan melantun jika pecah.
  • Kerja ialah 'bola getah'; boleh dicari semula. Jangan korbankan bola kaca demi kerjaya semata.
  • Hadap tekanan dengan solat istikharah, berani buat perubahan, dan cari sokongan rakan serta ketua untuk kesejahteraan.

Dalam dunia kerja yang semakin pantas dan menuntut, ramai antara kita mengejar prestasi, kestabilan kewangan dan kemajuan kerjaya sehingga terlupa bahawa tubuh, keluarga dan emosi juga mempunyai batasnya.

Tekanan kerja bukan lagi isu terpencil, sebaliknya semakin menjadi sebahagian daripada pengalaman harian pekerja di pelbagai sektor dan peringkat kerjaya.

Laporan State of the Global Workplace oleh Gallup sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan tekanan harian dalam kalangan pekerja kekal tinggi di peringkat global.

Jika tekanan berpanjangan tidak diurus dengan baik, ia boleh menyumbang kepada burnout, iaitu fenomena berkaitan pekerjaan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai kesan daripada tekanan kronik di tempat kerja yang gagal ditangani.

Di sebalik istilah burnout itu ialah manusia sebenar, iaitu ibu bapa, pasangan, anak dan rakan sekerja, yang cuba memenuhi tuntutan pekerjaan sambil mempertahankan kesihatan, hubungan dan ruang peribadi mereka.

Ada yang masih kelihatan produktif dari luar, tetapi sebenarnya sudah kehabisan tenaga dari sudut emosi, mental dan fizikal.

Tekanan ini tidak memilih bulu; ia menghimpit setiap lapisan pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta, tanpa mengira status jawatan tetap atau kontrak.

Ramai pekerja hari ini bangun setiap pagi dengan dada yang terasa sesak kerana beban mental yang menunggu mereka di pejabat, malah ada yang terpaksa memujuk diri sendiri hanya untuk melangkah keluar rumah.

Isu ini turut menyentuh sektor pendidikan tinggi negara. Pada awal 2024, Kongres Persatuan Akademik Malaysia dilaporkan membangkitkan kebimbangan bahawa lebih 30,000 ahli akademik di 20 universiti awam berdepan tekanan berkaitan beban kerja, ganjaran dan pengiktirafan.

Jika cabaran ini tidak ditangani secara seimbang, kesannya bukan sahaja dirasai oleh pensyarah, tetapi berpotensi mempengaruhi kualiti pengajaran, pembangunan graduan dan kelestarian bakat akademik negara.

Memasuki tahun 2026, cabaran ini dilihat semakin meruncing dengan gaya hidup moden yang serba menghambat.

Sering kali kita melihat dilema menyayat hati di mana rumah bukan lagi menjadi “syurga” tempat berteduh, sebaliknya sekadar tempat persinggahan sementara untuk melepaskan lelah tidur.

Bayangkan situasi seorang doktor muda atau pendidik yang terpaksa bertugas di Sabah, manakala pasangan dan anak-anak berada jauh di Semenanjung.

Saban hari, mereka bergelut dengan keletihan fizikal di hospital atau institusi, namun jiwa mereka merintih kerana kehilangan masa berharga melihat anak-anak membesar di depan mata.

Kehilangan masa berkualiti ini menyebabkan fungsi institusi kekeluargaan semakin pudar, sedangkan perhatian dan kasih sayang adalah keperluan fitrah yang tidak boleh ditukar ganti dengan sebarang gred gaji atau pangkat.

Di sinilah kita perlu merenung kembali metafora “Lima Bola”dalam kehidupan. Bayangkan hidup kita seperti seorang pemain sarkas yang sedang melambung lima biji bola secara serentak iaitu Kerja, Keluarga, Kesihatan, Sahabat, dan Rohani.

Rahsia besar yang perlu kita fahami ialah bola Kerja sebenarnya diperbuat daripada getah. Jika ia jatuh, ia akan melantun kembali; kita mungkin kehilangan kerja hari ini, tetapi pintu rezeki lain pasti akan terbuka.

Namun, empat bola yang lain iaitu Keluarga, Kesihatan, Sahabat, dan Rohani adalah diperbuat daripada kaca. Jika salah satu daripada bola kaca ini jatuh, ia tidak akan melantun.

Ia mungkin akan tercalar, retak, atau hancur berkecai dan tidak akan kembali kepada bentuk asalnya yang sempurna.

Sebagai pengamal profesional yang berpegang kepada prinsip kesepaduan ilmu dan nilai, kita harus menyedari bahawa kerja itu sendiri adalah sebahagian daripada ibadah, namun ia tidak seharusnya memutuskan hubungan kita dengan Pencipta dan tanggungjawab kepada sesama manusia.

Perspektif ini menuntut kita melihat bahawa keberadaan kita di tempat kerja, sama ada di hospital, universiti, mahupun di pejabat, adalah untuk membawa manfaat, bukannya untuk memusnahkan amanah tubuh dan keluarga.

Menjaga kesihatan diri dan keharmonian keluarga adalah amanah Tuhan yang wajib dipelihara mengatasi segala kepentingan organisasi.

Apabila seseorang sudah buntu mencari jalan penyelesaian terhadap konflik kerjaya dan peribadi, maka kembalilah kepada konsep penyerahan diri secara total.

Melakukan solat istikharah bukan sekadar mencari jawapan teknikal, tetapi ia adalah proses memohon petunjuk untuk membuat keputusan yang paling diredhai-Nya.

Ini termasuklah keberanian untuk meletak jawatan atau bertukar haluan jika itu jalan terbaik untuk menyelamatkan “bola kaca” kita daripada terus hancur berkecai.

Hakikatnya, tekanan di tempat kerja sukar dielakkan, tetapi cara kita menghadapinya adalah pilihan kita. Jangan pendam rasa tertekan; berkongsi dengan rakan atau ketua yang dipercayai mampu mengurangkan beban emosi kerana sokongan sosial membantu kita bangkit semula.

Ingatlah, kerja hanyalah sebahagian daripada kehidupan dan bukan keseluruhan hidup. Biarlah kita kehilangan sedikit momentum dalam kerjaya, asalkan kita tidak kehilangan diri sendiri dan rahmat Tuhan di garisan penamat nanti. Biarlah lambat dan cukup rehat, asalkan kita selamat dunia dan akhirat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.