Masa menunggu, hospital awam perlu tambah sumber dan kecekapan

Foto janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan pengoptimuman alir kerja dan pengagihan sumber melalui Sains Pemutusan dan simulasi Peristiwa Diskret bagi mengurangkan masa menunggu.
  • Berdasarkan bukti, penstrukturan semula jadual dan staggered arrival mampu kurangkan masa menunggu tanpa tambah doktor atau ruang fizikal.
  • Galakkan sinergi akademik dan agensi kerajaan untuk menterjemah analisis sains kepada dasar MADANI bagi perkhidmatan awam lebih cekap dan empatik.

Pengalaman menunggu lama di jabatan kecemasan hospital awam, wad pesakit, mahupun di klinik pakar bukanlah satu perkara asing bagi kebanyakan rakyat di negara ini.

Dalam keadaan badan yang tidak sihat atau apabila membawa anak kecil serta warga emas, setiap minit yang berlalu di ruang menunggu terasa amat panjang.

Di bawah kerangka Malaysia MADANI, teras Kesejahteraan dan Ihsan menuntut komitmen pentadbiran perkhidmatan awam untuk menyediakan perkhidmatan yang bukan sahaja berkualiti, malah berempati dan menghormati nilai masa rakyat.

Persoalan utama yang kerap timbul ialah adakah jalan penyelesaian kepada isu kesesakan ini sentiasa memerlukan pembinaan hospital baharu atau perbelanjaan modal yang besar?

Hakikatnya, jawapan kepada kemelut ini tidak semestinya bergantung kepada penambahan infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya terletak pada keupayaan kita mengoptimumkan alir kerja dan sistem pengagihan sumber sedia ada menerusi pendekatan Sains Pemutusan.

Sains Pemutusan menggunakan analisis matematik dan pemodelan berkomputer untuk membantu pembuat keputusan memilih langkah paling optimum di tengah-tengah ketidakpastian dan kekangan sumber.

Salah satu teknik utamanya ialah Simulasi Peristiwa Diskret atau Discrete Event Simulation (DES), yang berfungsi ibarat satu makmal maya.

Menerusi DES, keseluruhan perjalanan pesakit dari pintu masuk hingga keluar fasiliti didigitalisasikan untuk menganalisis titik sesak tanpa mengganggu operasi harian hospital.

Keupayaan simulasi berkomputer ini membolehkan pihak pengurusan hospital menjalankan ujian senario secara maya untuk melihat kesan sesuatu perubahan pengoperasian sebelum ia benar-benar dilaksanakan di alam nyata.

Bukti Empirikal Pengoptimuman Operasi Hospital

Aplikasi teknik ini telah dibuktikan secara empirikal menerusi pelbagai kajian saintifik di fasiliti kesihatan tempatan.

Sebagai contoh, kajian di Jabatan Kecemasan sebuah hospital awam di Kuala Lumpur mendapati bahawa Zon Hijau menyumbang sehingga 62 peratus daripada keseluruhan kedatangan pesakit, sehingga menyebabkan pesakit terpaksa menunggu sehingga 3 jam.

Menerusi simulasi DES, penyelidik mendapati bahawa kesesakan tersebut berpunca daripada agihan jadual tugas yang tidak sepadan dengan waktu puncak ketibaan pesakit.

Dengan hanya menyusun semula jadual dan menambah seorang doktor pada waktu puncak, masa menunggu pesakit berjaya dikurangkan kepada sekitar 60 minit, manakala kadar beban kerja doktor juga dapat diturunkan.

Masalah kesesakan ini turut menjejaskan wad pesakit, seperti yang direkodkan di sebuah hospital universiti di mana kekurangan katil dan beban kerja jururawat menyebabkan kelewatan kemasukan pesakit dari Jabatan Kecemasan.

Menerusi pendekatan DES yang digabungkan dengan formula pengagihan matematik berasaskan had peruntukan kewangan hospital, pihak pengurusan dapat menyelaraskan bilangan katil dan syif jururawat mengikut zon risiko secara jitu.

Langkah pengoptimuman ini terbukti berkesan mengurangkan masa menunggu pesakit serta mengelakkan beban kerja melampau dalam kalangan petugas kesihatan.

Sinergi Penyelidikan Strategik: Menterjemah Analisis Kepada Dasar MADANI

Sinergi penyelidikan antara pihak akademik dan agensi penyelidikan kerajaan turut membuahkan hasil yang berimpak tinggi kepada dasar awam.

Menerusi kolaborasi antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (Institute for Health Systems Research – IHSR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), aliran pesakit awam dan pesakit bayaran penuh telah dianalisis menerusi simulasi DES.

Kajian ini mendapati bahawa penyelarasan waktu mula perundingan doktor agar sepadan dengan kedatangan pesakit secara bertahap atau staggered arrival mampu mengurangkan masa keseluruhan pesakit awam di klinik sehingga 40 peratus.

Pada masa yang sama, kesesakan ruang menunggu pada waktu puncak dapat dikurangkan sebanyak 10 hingga 21 peratus tanpa memerlukan penambahan sebarang doktor atau ruang fizikal baharu.

Dapatan kajian-kajian tempatan ini membuktikan bahawa kunci utama kepada reformasi perkhidmatan awam hari ini bukanlah sekadar menyalurkan lebih banyak dana, tetapi membuat keputusan pengoperasian yang lebih bijak berasaskan bukti saintifik.

Kerjasama strategik antara ahli akademik dan penyelidik di KKM memastikan setiap dasar yang dirangka berupaya mengurangkan masa menunggu pesakit, memelihara kebajikan petugas barisan hadapan daripada kelesuan kerja, serta mengoptimumkan penggunaan dana awam secara berhemat.

Inilah citra pemikiran baharu yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina sistem perkhidmatan awam yang berdaya cipta, cekap, dan penuh ihsan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Ruzelan Khalid
Pensyarah
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.