
LUMUT, 8 September – Sebuah vesel pukat tunda kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dipercayai melanggar tiga syarat sah lesen perikanan di perairan Pulau Nipis, Perak, Ahad lalu.
- Dikendalikan seorang tekong, seorang kru warga Malaysia dan tiga kru warga Myanmar berumur 39 hingga 67 tahun.
- Didapati menjalankan aktiviti perikanan dalam jarak kurang daripada 15 batu nautika dari pantai.
- Menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan pukat dengan saiz mata kurang daripada 38 milimeter.
- Tiga kru Myanmar disiasat di bawah Akta Imigresen; hasil tangkapan kira-kira 200 kilogram dan peralatan dirampas.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira pukul 2 petang di kedudukan 6.7 batu nautika tenggara Pulau Nipis ketika dikesan menjalankan aktiviti perikanan.
“Pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong dan seorang kru warga Malaysia, selain tiga kru warga Myanmar berusia antara 39 hingga 67 tahun.
“Vesel berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti perikanan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai, menggunakan kru asing tanpa kebenaran serta pukat yang mempunyai saiz mata kurang daripada 38 milimeter,” katanya menerusi kenyataan.
Turut ditemukan kira-kira 200 kilogram ikan campur dan peralatan menangkap ikan berupa pukat tunda.
Tiga kru warga Myanmar turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki permit kerja.
Kesemua nelayan ditahan untuk siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas untuk tindakan lanjut.