
ABU DHABI, 7 September – Pegawai kanan Lembaga Keamanan yang disokong Amerika Syarikat pada Isnin memberi amaran bahawa kegagalan mencapai kemajuan di Gaza, ditambah dengan peningkatan keganasan di Tebing Barat, boleh menjadikan penyelesaian dua negara “mustahil”.
- Kegagalan kemajuan di Gaza dan peningkatan keganasan di Tebing Barat boleh menjadikan penyelesaian dua negara mustahil.
- Laluan ke penyelesaian memerlukan pentadbiran peralihan, pelucutan senjata dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
- Pelucutan senjata sukar kerana kekuatan ketenteraan besar di Gaza dan keraguan serta tekanan politik pemimpin Israel.
Wakil Tinggi bagi Gaza di bawah Lembaga Keamanan yang disokong Amerika Syarikat, Nickolay Mladenov, yang ditugaskan melaksanakan pelan gencatan senjata Oktober, berkata demikian ketika berucap pada Forum Hili disini.
“Saya akan katakan bahawa jika Gaza terus berada dalam keadaan seperti sekarang atau tidak bergerak ke arah pelaksanaan rancangan yang kita ada di bawah pelan menyeluruh, penyelesaian dua negara secara praktikal akan menjadi mustahil,” katanya.
Beliau berkata keadaan di Tebing Barat serta penguasaan tentera Israel ke atas lebih 50 peratus kawasan Gaza dan Hamas yang menguasai kurang daripada 50 peratus, menyebabkan tiada laluan yang meyakinkan ke arah penyelesaian konflik.
Menurut Mladenov, satu-satunya cara untuk membina semula laluan ke arah penyelesaian itu adalah menerusi pentadbiran peralihan, pelucutan senjata dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Pelan hala tuju yang dipersetujui Hamas pada 30 Julai menetapkan bahawa proses pelucutan senjata akan dipantau Pasukan Penstabilan Antarabangsa, sebuah pasukan baharu yang dirancang untuk ditempatkan di Gaza sekiranya konflik kembali reda.
Hamas sebelum ini berjanji menyerahkan senjatanya kepada badan pentadbiran Palestin baharu,
Langkah tersebut menimbulkan keraguan dalam kalangan pimpinan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, namun disifatkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebagai satu perkembangan positif.
Tebing Barat turut menyaksikan peningkatan keganasan sejak tercetusnya perang di Gaza pada 7 Oktober 2023.
Lebih 500,000 rakyat Israel tinggal di penempatan yang dianggap tidak sah di wilayah Palestin itu, yang dihuni kira-kira tiga juta rakyat Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, Jared Kushner, menantu Trump dan utusan Amerika Syarikat, berkata pada Ahad bahawa proses pelucutan senjata di Gaza tidak akan mudah berikutan tahap ketenteraan di wilayah berkenaan yang menurutnya jauh lebih besar daripada jangkaan.
“Anda tidak boleh masuk jika masih terdapat senjata,” katanya, sambil menambah bahawa usaha melucutkan ketenteraan di Gaza bukan sesuatu yang mudah.
Kushner berkata demikian pada taklimat media di Kyiv ketika mengulas mengenai keadaan di Gaza dan pilihan raya Israel yang bakal berlangsung.
Beliau berkata Amerika Syarikat mempunyai pandangan yang sama dengan Israel mengenai keadaan akhir yang ingin dicapai, namun pilihan raya yang akan datang menyebabkan pemimpin Israel menjadi “sedikit tidak rasional” dalam beberapa perkara berkaitan Gaza. – AFP.