
SAUDARA PENGARANG
- Kesunyian dan tinggal bersendirian semakin meningkat, ancaman kesihatan awam yang meningkatkan risiko kemurungan, dementia, penyakit jantung dan kematian awal.
- Beban penyakit kronik tinggi; hipertensi, kolesterol, diabetes, sarkopenia dan kerapuhan mengurangkan kebolehan berdikari warga emas.
- Sistem sokongan keluarga rapuh akibat urbanisasi dan tekanan ekonomi; perlu bina sokongan komuniti serta budaya sukarelawan yang sistematik.
- Tindakan kolektif segera diperlukan melalui pengukuhan penjagaan, perancangan mesra warga emas dan pendidikan gaya hidup sihat sejak awal.
Malaysia kini sedang memasuki satu fasa besar perubahan sosial yang bakal merubah landskap demografi negara secara total dalam tempoh yang sangat singkat.
Menjelang tahun 2030 negara dijangka mencapai status negara menua apabila lebih 15 peratus penduduk terdiri daripada warga emas berumur 60 tahun ke atas.
Persoalan paling kritikal yang perlu dijawab oleh setiap lapisan masyarakat hari ini ialah bagaimana kita mahu menjalani kehidupan apabila fasa usia emas itu tiba nanti.
Adakah rakyat Malaysia akan menua dalam keadaan yang sihat aktif serta bermaruah atau adakah kita bakal menyaksikan lebih ramai warga tua hidup bersendirian uzur dan terasing daripada denyut nadi masyarakat arus perdana.
Realiti semasa menunjukkan satu trend yang sangat membimbangkan mengenai keadaan warga emas kita.
Dapatan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau NHMS oleh Kementerian Kesihatan Malaysia 2025 mendedahkan bahawa sebanyak 18.8 peratus warga emas di Malaysia kini tinggal bersendirian.
Angka tersebut telah meningkat hampir tiga kali ganda berbanding hanya 6.3 peratus pada tahun 2018. Perubahan mendadak ini berlaku akibat kesan urbanisasi yang pesat tekanan ekonomi yang menghimpit serta perubahan struktur keluarga moden yang semakin mengecil.
Hubungan kejiranan yang semakin longgar menyebabkan ramai warga emas mula hidup tanpa sokongan sosial yang kuat sehingga media tempatan kerap melaporkan kes tragis warga emas yang ditemui meninggal dunia bersendirian di rumah tanpa disedari oleh sesiapapun selama beberapa hari.
Kesunyian kini telah menjadi ancaman senyap yang sangat berbahaya kepada kesihatan awam.
Tinjauan yang sama pada tahun 2025 menunjukkan sokongan sosial yang lemah dalam kalangan warga emas meningkat kepada 33.1 peratus yang bermaksud semakin ramai golongan ini hidup dalam keadaan sunyi tanpa interaksi sosial yang bermakna.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO menegaskan bahawa kesunyian kronik bukan sekadar masalah emosi biasa tetapi ia mampu meningkatkan risiko kemurungan dementia penyakit jantung serta membawa kepada kematian awal.
Dalam kitaran masyarakat moden yang sangat sibuk ramai warga emas menghabiskan sebahagian besar masa mereka di dalam rumah tanpa aktiviti fizikal yang aktif yang akhirnya melemahkan semangat untuk terus hidup.
Masalah ini menjadi jauh lebih serius apabila digabungkan dengan tahap kesihatan fizikal warga emas Malaysia yang berada pada tahap sangat membimbangkan.
Tinjauan NHMS 2025 menunjukkan hanya 14.7 peratus warga emas di negara ini mencapai tahap penuaan sihat manakala bakinya bergelut dengan pelbagai penyakit kronik.
Data menunjukkan 73 peratus daripada mereka menghidap hipertensi manakala 76 peratus mempunyai tahap kolesterol tinggi dan 39 peratus menghidap diabetes.
Keadaan ini ditambah lagi dengan isu sarkopenia atau penyusutan otot yang menimpa hampir 45 peratus warga emas serta 60 peratus yang berisiko mengalami kerapuhan fizikal yang tinggi sekali gus meragut kemampuan mereka untuk berdikari dalam menguruskan diri sendiri.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika melancarkan dapatan tinjauan tersebut pada 20 April 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya telah mengingatkan bahawa Malaysia perlu segera bersedia menghadapi cabaran populasi menua ini.
Peningkatan jumlah warga emas yang tinggal bersendirian serta beban penyakit kronik akan memberi kesan domino yang sangat besar kepada sistem kebajikan sosial serta kapasiti perkhidmatan kesihatan negara.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa persediaan harus dimulakan sekarang.
Langkah boleh dilakukan melalui pengukuhan ekonomi penjagaan serta pembangunan sistem sokongan komuniti yang lebih mampan bagi memastikan kelestarian hidup warga tua kita.
Kajian penulis yang dijalankan melalui kerjasama Malaysia Jepun di bawah geran Sumitomo Foundation mendapati bahawa sistem sokongan keluarga tradisional kini berhadapan dengan cabaran yang sangat hebat untuk dipertahankan.
Walaupun nilai menghormati ibu bapa masih menebal dalam budaya kita tekanan pekerjaan dan tuntutan kehidupan di bandar menyebabkan ramai anak semakin sukar untuk memberikan penjagaan sepenuh masa.
Oleh itu terdapat keperluan mendesak untuk membina sistem sokongan komuniti dan budaya sukarelawan yang lebih sistematik.
Negara luar seperti Jepun Singapura Sweden dan Denmark telah lama membina budaya penuaan sihat sejak usia dewasa lagi tanpa menunggu rakyat mereka menjadi terlalu tua sebelum bertindak balas terhadap perubahan demografi tersebut.
Di Jepun misalnya konsep healthy ageing diterapkan secara mendalam melalui rutin harian yang aktif seperti berjalan kaki pemakanan seimbang serta pemeriksaan kesihatan berkala yang sangat ketat.
Melalui pemerhatian penulis di Bandar Kunitachi Tokyo perancangan bandar yang mesra warga emas telah dilaksanakan dengan menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat taman komuniti aktif serta sistem pengangkutan awam bas tanpa tangga yang mudah diakses.
Warga emas di sana yang berumur sekitar 75 tahun menyatakan bahawa mereka mula mengubah gaya hidup seawal usia 50an kerana tidak mahu menjadi beban kepada keluarga.
Mereka percaya bahawa badan yang terus bergerak dan penglibatan aktif dalam kerja sukarela adalah kunci utama untuk mengekalkan ketajaman minda serta kekuatan fizikal.
Krisis warga emas yang mula kelihatan di Malaysia hari ini sepatutnya menjadi satu loceng amaran yang sangat kuat kepada kita semua bahawa proses penuaan adalah satu kitaran yang tidak dapat dielakkan oleh setiap manusia.
Kehidupan hari tua yang berkualiti tidak akan berlaku secara kebetulan sebaliknya ia perlu dibina sejak usia muda melalui disiplin penjagaan kesihatan yang ketat dan gaya hidup yang seimbang.
Kita perlu mula mengubah persepsi lapuk bahawa penjagaan kesihatan hanya penting apabila sudah jatuh sakit atau selepas bersara.
Persediaan mental fizikal dan kewangan untuk menjadi warga emas yang bermaruah perlu bermula lebih awal terutamanya ketika kita berada dalam fasa usia 40an dan 50an lagi.
Amalan ringkas seperti berjalan kaki secara konsisten menjaga pola pemakanan serta mendapatkan tidur yang mencukupi adalah pelaburan jangka panjang yang paling berharga untuk memastikan kita terus mampu berdikari pada masa hadapan.
Namun kesihatan fizikal semata mata tidak akan mencukupi jika kesihatan mental dan emosi diabaikan.
Hubungan sosial yang positif perlu dibina semula melalui penglibatan dalam program komuniti sukarelawan persatuan penduduk atau aktiviti di masjid bagi memastikan kita mempunyai sistem sokongan yang utuh apabila meningkat usia.
Masyarakat juga perlu berhenti melihat warga emas sebagai satu beban ekonomi sebaliknya harus menghargai pengalaman dan kebijaksanaan mereka sebagai aset penting untuk komuniti.
Sebagai kesimpulan krisis senyap ini memerlukan tindakan kolektif daripada kerajaan pihak industri dan setiap individu untuk membina persekitaran yang lebih manusiawi dan penyayang.
Kehidupan yang baik bermaksud kita mampu menua dalam keadaan sihat terus aktif dihormati serta tetap mempunyai makna yang besar dalam kehidupan bermasyarakat.
Janganlah kita membiarkan generasi emas kita layu dalam kesunyian dan kesakitan sedangkan kita mempunyai peluang untuk merubah masa depan mereka dan masa depan kita sendiri bermula dari sekarang.
Penuaan yang bermaruah adalah hak setiap insan dan ia bermula dengan kesedaran kita untuk bertindak sebelum fasa tersebut benar benar tiba dalam kehidupan kita kelak.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Profesor Madya Dr Hadijah Iberahim
Pensyarah
Arshad Ayub Graduate Business School
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam