Keselamatan perlu jadi keutamaan destinasi pelancongan

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Keselamatan destinasi mesti diurus secara menyeluruh: kenal pasti bahaya, nilai risiko, laksanakan kawalan, pantau dan tambah baik secara berterusan.
  • Pengurusan risiko perlu menjadi budaya operasi; near miss direkod, disiasat dan diperbaiki sebelum berlaku kemalangan.
  • Pengusaha dan pekerja berada di barisan hadapan: penyelenggaraan, latihan, pematuhan prosedur dan pelaporan proaktif wajib dilaksanakan.
  • Agensi kerajaan perlu bertindak bersama mengawal selia dan memantau; pelancong juga bertanggungjawab mematuhi arahan untuk keselamatan bersama.

Kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Victoria, Enggor, Kuala Kangsar, baru-baru ini menjadi peringatan bahawa keselamatan tidak boleh dilihat sebagai perkara sampingan dalam pembangunan dan pengurusan destinasi pelancongan.

Tidak wajar untuk kita membuat kesimpulan atau menyalahkan mana-mana pihak sebelum siasatan selesai. Namun, kejadian tersebut sepatutnya membuka ruang kepada persoalan yang lebih besar: Sejauh mana risiko keselamatan di sesuatu destinasi diuruskan?

Belum pun persoalan itu reda, beberapa kejadian lain yang berlaku di lokasi-lokasi pelancongan dan rekreasi di dalam negara, termasuk di taman tema, laut, air terjun serta pusat rekreasi, turut mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Keadaan ini menunjukkan bahawa risiko keselamatan boleh wujud dalam pelbagai bentuk di destinasi pelancongan.

Justeru, aspek keselamatan tidak seharusnya hanya diberi perhatian selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya perlu dikenal pasti dan diurus sejak awal.

Keselamatan Bukan Sekadar Papan Tanda

Keselamatan di destinasi pelancongan bukan sekadar menyediakan papan tanda amaran atau memasang pagar keselamatan. Ia melibatkan pengurusan risiko secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti bahaya, menilai kemungkinan serta kesan, seterusnya menyediakan kawalan dan pelan keselamatan.

Dalam konteks destinasi pelancongan, risiko boleh datang daripada pelbagai sumber. Antaranya keadaan struktur dan kemudahan, aktiviti rekreasi, cuaca, pergerakan pengunjung, kapasiti sesuatu lokasi serta tahap pengawasan.

Lebih mencabar, risiko juga perlu dilihat berdasarkan profil pengunjung. Kanak-kanak, warga emas dan individu kurang upaya mungkin berdepan risiko yang berbeza berbanding pengunjung lain.

Pengurusan Risiko Perlu Jadi Budaya

Secara asasnya, pengurusan risiko meliputi proses mengenal pasti, menilai, mengawal, memantau dan menambah baik langkah keselamatan.

Pengurusan risiko tidak seharusnya hanya dilakukan apabila berlaku kemalangan atau apabila pemeriksaan dijalankan. Ia perlu menjadi kewajipan dalam pengurusan operasi dan sebahagian daripada budaya pengurusan setiap destinasi.

Setiap pengusaha wajar mempunyai pelan mitigasi dan keselamatan yang jelas, bersesuaian dengan jenis aktiviti dan tahap risiko yang dihadapi. Pelan itu perlu dilaksanakan secara berperingkat dan disemak dari semasa ke semasa. Pendekatan ini penting kerana risiko sentiasa berubah.

Perubahan cuaca, pertambahan jumlah pengunjung, pengubahsuaian kemudahan atau perubahan operasi boleh meningkatkan atau mencetuskan risiko baharu yang sebelum ini tidak dikenal pasti.

Jangan Tunggu Kemalangan Untuk Bertindak

Kemalangan yang berlaku mungkin bermula dengan risiko yang diabaikan sebelum ini. Satu perkara yang sering terlepas pandang dalam pengurusan keselamatan ialah kejadian hampir berlaku atau near miss.

Jika seorang pengunjung hampir terjatuh, tersangkut atau mengalami kecederaan ringan, kejadian itu tidak sepatutnya dianggap selesai begitu sahaja. Perkara ini boleh menjadi petunjuk awal bahawa terdapat kelemahan yang perlu dikenal pasti dan diperbaiki.

Ia perlu direkodkan, disiasat dan dijadikan asas untuk menambah baik kawalan keselamatan.

Dalam pengurusan risiko, near miss boleh menjadi amaran awal sebelum berlaku kemalangan yang lebih serius. Jangan tunggu sehingga berlaku kecederaan atau kehilangan nyawa untuk mengenal pasti kelemahan yang sebenarnya sudah boleh dikesan lebih awal.

Pemain Industri Perlu Berada Di Barisan Hadapan

Keselamatan tidak boleh dianggap sebagai kos operasi semata-mata. Ia adalah sebahagian daripada kualiti perkhidmatan dan reputasi sesebuah destinasi.

Pengusaha dan pemain industri pelancongan mempunyai tanggungjawab besar kerana mereka bukan sahaja penyedia perkhidmatan, malah berinteraksi secara langsung dengan pelancong.

Mereka bukan sahaja perlu memastikan peralatan dan kemudahan diselenggara dengan baik, tetapi juga memastikan pekerja mendapat latihan yang mencukupi, mematuhi prosedur keselamatan dan menjalankan pemeriksaan keselamatan secara berkala.

Dalam masa sama, pekerja perlu sentiasa bersifat proaktif. Budaya melaporkan risiko dalam kalangan pekerja diperkukuh dengan prosedur yang sistematik.

Pekerja yang melihat keadaan berbahaya perlu berasa bertanggungjawab untuk melaporkannya tanpa menunggu sehingga berlaku kejadian.

Agensi Kerajaan Perlu Memastikan Akauntabiliti

Pada masa sama, tanggungjawab keselamatan tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pengusaha.

Agensi berkaitan, termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mempunyai peranan mengikut bidang kuasa masing-masing dalam menilai risiko, memastikan standard dipatuhi dan menjalankan pemeriksaan berkala.

Kerjasama antara agensi penting supaya penilaian risiko meliputi aspek operasi, struktur, keselamatan pekerjaan, kecemasan serta kesesuaian kemudahan dengan aktiviti dan pengunjung.

Pemantauan pula perlu dijalankan secara berterusan, bukan hanya selepas berlaku kejadian. Pada masa sama, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap agensi perlu jelas bagi mengelakkan pertindihan pengawasan.

Pelancong Perlu Memainkan Peranan

Keselamatan destinasi bukan tanggungjawab pengusaha dan kerajaan semata-mata. Pelancong juga mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan diri dan kumpulan yang bersama mereka.

Antaranya, pelancong perlu mematuhi arahan dan peraturan keselamatan, mengambil perhatian terhadap papan tanda amaran, menggunakan kemudahan mengikut fungsi dan kapasiti yang ditetapkan, mengawasi kanak-kanak serta mengelakkan aktiviti yang terlalu ekstrem atau tidak sesuai dengan kemampuan diri.

Selain itu, pelancong perlu sentiasa peka dengan menilai risiko sebelum dan semasa menjalankan sesuatu aktiviti, termasuk mengambil kira keadaan persekitaran.

Jika keadaan dirasakan tidak selamat, keputusan untuk tidak meneruskan aktiviti juga merupakan langkah keselamatan yang terbaik.

Keselamatan Menentukan Keyakinan Pelancong

Pengurusan risiko perlu bergerak seiring dengan usaha mempromosikan destinasi.

Bagi Malaysia yang mahu terus memperkukuh sektor pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, keselamatan bukan sekadar tanggungjawab, tetapi sebahagian daripada daya saing dan kualiti sesebuah destinasi.

Destinasi yang menarik mungkin berjaya menarik pelancong untuk datang, tetapi destinasi yang selamat membina keyakinan untuk mereka kembali dan mengesyorkannya kepada orang lain.

Dalam konteks Tahun Melawat Malaysia 2026, aspek ini semakin penting apabila peningkatan jumlah pelawat turut memberi tekanan kepada kemudahan, pengangkutan dan lokasi tumpuan pelancong.

Justeru, keselamatan perlu menjadi keutamaan semua pemain industri dan diurus secara berterusan kerana jika keselamatan hanya diberi perhatian selepas kemalangan berlaku, kita sebenarnya sudah bertindak terlalu lewat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Ezwani Azmi
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan
UiTM Cawangan Melaka
E-mel: ezwani.azmi@uitm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.