
KUALA LUMPUR, 6 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) kembali menduduki takhta Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, selepas muncul juara keseluruhan dengan 35 pingat emas, 20 perak dan 15 gangsa.
- UPM mendahului UiTM berdasarkan kutipan emas walaupun UiTM mengumpul lebih pingat keseluruhan.
- Kejayaan menebus kekecewaan 2024 dan mengukuhkan dominasi UPM dengan gelaran SUKIPT keempat.
- Hoki lelaki, hoki wanita, bola jaring dan olahraga menjadi pemacu utama; silat dan menembak turut menyumbang emas.
Kutipan emas lebih tinggi menyaksikan UPM menamatkan saingan di hadapan Universiti Teknologi MARA (UiTM), walaupun jumlah keseluruhan pingat UiTM lebih banyak dengan 82 berbanding 70 milik UPM.
UiTM, bagaimanapun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas mengumpul 29 emas, 31 perak dan 22 gangsa, sekali gus menyaksikan UPM menebus kekecewaan selepas kehilangan gelaran pada edisi 2024.
Kejayaan itu turut mengukuhkan dominasi UPM dalam sejarah SUKIPT apabila meraih kejuaraan buat kali keempat selepas turut muncul juara pada edisi pertama, keempat dan kelima.
Timbalan Ketua Kontinjen UPM, Malik Tobias berkata, kejayaan dicapai hasil usaha konsisten atlet-atlet walaupun tidak menetapkan sasaran kejuaran pada awal saingan.
“Kami tidak menetapkan sasaran tahun ini. Namun, pencapaian-pencapaian yang memberangsangkan daripada atlet-atlet telah dilihat menerusi kejohanan-kejohanan seperti MASUM dan VSC. Akhirnya SUKIPT kali ini menjadi milik UPM kembali,”katanya.
Pencapaian UPM kali ini dipacu beberapa sukan utama termasuk hoki lelaki dan wanita serta bola jaring yang masing-masing muncul juara.
Dalam olahraga, UPM turut cemerlang dengan meraih 15 pingat emas menerusi acara individu.
Skuad silat dan menembak turut mencuri tumpuan apabila masing-masing menyumbang tiga dan empat emas kepada kontinjen UPM, sekali gus melepasi jangkaan awal.
Namun, cabaran UPM dalam ragbi tidak berakhir seperti diharapkan apabila skuad berkenaan gagal melangkah ke final selepas tewas di peringkat separuh akhir dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
UPM dijangka melakukan penilaian menyeluruh terhadap prestasi setiap sukan bagi mengenal pasti kekuatan dan aspek yang perlu diperbaiki menjelang edisi akan datang.
Kejayaan itu turut mengembalikan UPM ke puncak selepas UiTM muncul juara keseluruhan pada edisi 2024 dengan 38 emas, 20 perak dan 39 gangsa.
UPM sebelum ini menjuarai SUKIPT pada edisi 2012, 2018 dan 2022.