
PUTRAJAYA, 6 September – Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya menerusi Projek 30 Peratus selain cadangan mewujudkan Dana Insentif Perwakilan Politik Wanita.
- Teo Nie Ching gesa langkah lebih drastik bagi memastikan lebih ramai wanita diberi peluang bertanding dan dipilih sebagai wakil rakyat.
- Cadangan bantuan sekali bayar menampung kos kempen calon wanita dan peruntukan tahunan kepada parti berdasarkan wakil wanita terpilih.
- DAP Wanita menggesa Rang Undang-Undang Pariti Gender mewajibkan peratusan minimum calon wanita dalam PRU dan PRN.
- Anthony Loke tekankan kesaksamaan gender, inisiatif memperkasakan wanita di sektor pengangkutan serta tumpu aspek keselamatan dan kebajikan.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, langkah lebih drastik perlu diambil bagi memastikan lebih ramai wanita diberi peluang untuk bertanding dan seterusnya dipilih sebagai wakil rakyat.
“Saya ingin mencadangkan supaya kita menyokong sepenuhnya Projek 30 Peratus dan menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan mekanisme Dana Insentif Perwakilan Politik Wanita menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Kebangsaan Wanita DAP yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook di sini hari ini.
Teo Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata, ketika ini wanita mewakili 25.83 peratus daripada keseluruhan wakil rakyat DAP, dengan 31 daripada 120 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri parti itu merupakan wanita.
Ketika menjelaskan berkenaan cadangan Dana Insentif Perwakilan Politik Wanita, beliau berkata ia merupakan bantuan sekali beri bagi menampung sebahagian kos kempen calon wanita yang layak, selain peruntukan tahunan kepada parti berdasarkan jumlah dan peratusan wakil rakyat wanita yang berjaya dipilih.
DAP Wanita turut menggesa Kerajaan Persekutuan membentangkan Rang Undang-Undang Pariti Gender bagi mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesaksamaan gender merupakan antara prinsip penting parti, dengan agenda memperkasa wanita perlu diterjemahkan dalam pelbagai bidang, bukan hanya dalam politik.
“Wanita boleh memainkan peranan dalam apa juga bidang yang diceburi lelaki. Itu antara peranan dan dasar yang saya laksanakan di Kementerian Pengangkutan, termasuk memperkasakan golongan wanita dalam sektor pengangkutan,” katanya.
Anthony Loke Siew Fook yang juga Menteri Pengangkutan berkata, usaha memperkasa wanita turut dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif dalam sektor penerbangan, maritim dan pengangkutan awam.
Peluang kepada wanita perlu dibuka secara sama rata dalam semua sektor tanpa terikat kepada stereotaip gender, sebaliknya berdasarkan kemampuan dan kepimpinan seseorang.
Aspek keselamatan dan kebajikan wanita terus diberi perhatian dalam penggubalan dasar kerajaan, termasuk memastikan keperluan serta keselamatan mereka terjamin ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Usaha memperkasakan wanita perlu menjadi tanggungjawab bersama dan tidak seharusnya hanya bergantung kepada pemimpin atau sayap wanita parti.