
KUALA LUMPUR, 6 September – Pertumbuhan ekonomi yang kekal kukuh dan inflasi yang terkawal antara faktor yang mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
- Inflasi utama 1.8% dan teras 2.0% kekal terkawal dalam julat unjuran 1.5 hingga 2.5 peratus walaupun ada tekanan kos.
- Pertumbuhan kukuh disokong eksport E&E dan pembuatan, permintaan domestik serta pelancongan; AI dan teknologi dijangka menyokong momentum hingga 2028.
- BNM waspada terhadap risiko daripada konflik Asia Barat dan tekanan penawaran; tindak balas dasar akan bergantung kepada punca inflasi.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, inflasi utama dan teras kekal terkawal, masing-masing pada 1.8 peratus serta dua peratus, di sebalik tekanan kos sepanjang tahun.
“Keadaan ini membolehkan kadar inflasi kekal dalam jajaran unjuran antara 1.5 hingga 2.5 peratus, dengan pertumbuhan terus berkembang positif tanpa tanda kemeruapan,” katanya.
Mengulas mengenai pertumbuhan ekonomi negara, beliau yakin kecerdasan buatan (AI) dan kitaran naik teknologi akan terus menyokong momentum eksport hingga tahun hadapan dan berterusan ke 2028.
“Pertumbuhan kukuh pada suku kedua 2026 disokong terutamanya oleh eksport khususnya daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan pembuatan serta permintaan dalam negeri dan perbelanjaan pelancongan yang mampan.
“Pertumbuhan keseluruhan bagi 2026 diunjur sekitar lima peratus dan berterusan ke 2027 dipacu enjin pertumbuhan yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, BNM kekal waspada terhadap risiko inflasi yang berpunca daripada konflik Asia Barat yang masih berlarutan selain kemungkinan tekanan kos dari segi penawaran.
Bank pusat akan terus memantau situasi itu dengan teliti, di samping menentukan tindak balas bersesuaian.
Beliau juga berkata, peralihan tekanan kos kepada ekonomi domestik adalah terhad didorong langkah-langkah dasar.
Pada masa sama, perniagaan turut membantu menyerap tekanan kos dan membuat pelarasan, termasuk melalui kepelbagaian rantaian bekalan, strategi penyumberan alternatif atau pengurusan inventori.
Tindak balas dasar yang dilaksanakan akan bergantung kepada punca tekanan inflasi.
“Jika semata-mata disebabkan tekanan kos, dasar monetari bukanlah alat yang berkesan, dan kita perlu menanganinya menggunakan alat yang berbeza.
“Tetapi, jika tekanan inflasi disebabkan oleh permintaan, maka dasar monetari mempunyai peranan untuk dimainkan. Kita akan memantau dengan teliti dan menggunakan instrumen yang sesuai bagi mengawal inflasi,” katanya.