Hamas gesa negara Arab, Islam bantah pelan usir penduduk Gaza ke negara lain

Serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan di kawasan Tal al-Hawa, Gaza City pada 31 Ogos lepas/AFP

GAZA, 4 September- Kumpulan Hamas menggesa negara-negara Arab dan Islam menolak cadangan dua menteri Israel untuk mengusir penduduk Palestin dari Gaza ke luar wilayah berkenaan termasuk ke negara lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hamas menggesa negara Arab dan Islam menolak cadangan menteri Israel memindahkan penduduk Gaza dan mengambil tindakan berkesan menggagalkan rancangan itu.
  • Rancangan itu menyasarkan pemindahan kira-kira 250,000 pada tahun pertama dan hampir dua juta penduduk dalam enam tahun berikutnya.
  • Pemindahan paksa orang awam dari wilayah diduduki dianggap jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata kenyataan berterusan menteri Israel mengenai rancangan berkenaan merupakan perkembangan amat berbahaya.

“Negara-negara Arab dan Islam perlu mengambil tindakan serius dan bersatu untuk menentang rancangan ini serta mengambil pendirian dan langkah berkesan bagi menggagalkannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rancangan jahat itu menyasarkan kira-kira 250,000 penduduk Palestin meninggalkan Gaza pada tahun pertama, sebelum baki kira-kira dua juta penduduk dipindahkan ke negara lain dalam tempoh enam tahun berikutnya.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem/ Reuters

Israel sebelum ini menyatakan kesediaan mengeluarkan penduduk Palestin dari Gaza melalui laluan laut dan darat, namun masih menunggu Amerika Syarikat menentukan lokasi penempatan mereka.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pula mencetuskan kecaman antarabangsa pada awal penggal keduanya apabila mencadangkan supaya penduduk Palestin dipindahkan dari Gaza dan wilayah itu dibangunkan semula sebagai kawasan peranginan mewah.

Bagaimanapun, beliau kemudian berundur daripada cadangan itu susulan tentangan beberapa negara termasuk Mesir.

Pemindahan secara paksa orang awam dari wilayah yang diduduki dianggap sebagai jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva.

Hampir keseluruhan penduduk Gaza telah dipindahkan secara dalaman akibat pengeboman berterusan Israel sejak Oktober 2023. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.