Melioidosis: Penyakit lama, tetapi masih mudah terlepas pandang

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Melioidosis berkait rapat dengan tanah dan air; pendedahan melalui kulit, sedutan atau sentuhan persekitaran tercemar.
  • Pesakit berisiko tinggi termasuk penghidap diabetes dan penyakit kronik; beritahu petugas kesihatan tentang pendedahan kepada lumpur atau banjir.
  • Diagnosis sukar kerana pelbagai gejala; penting untuk kecurigaan klinikal, ujian makmal, rawatan intensif awal dan susulan panjang.

Seorang pesakit diabetes datang ke klinik dengan demam, batuk dan keletihan yang berlarutan beberapa hari. Pada awalnya, simptom itu mungkin kelihatan seperti jangkitan paru-paru yang biasa ditemui dalam amalan harian.

Namun apabila demam tidak kebah, pernafasan semakin sukar dan keadaan umum merosot, gambaran klinikal yang pada awalnya kelihatan biasa boleh berubah menjadi sesuatu yang lebih serius.

Dalam keadaan seperti ini, doktor perlu memikirkan pelbagai kemungkinan, termasuk penyakit yang mungkin kurang dikenali oleh orang awam tetapi bukan asing dalam persekitaran tropika.

Salah satunya ialah melioidosis, penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Burkholderia pseudomallei.

Persoalannya, mengapa penyakit yang sudah lama diketahui wujud masih mudah terlepas pandang?

Melioidosis mempunyai hubungan rapat dengan tanah dan air, iaitu dua unsur yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat di negara beriklim tropika seperti Malaysia.

Pendedahan boleh berlaku melalui kulit yang luka, sedutan atau kontak dengan persekitaran tercemar.

Risiko ini menjadi lebih relevan apabila seseorang sering bekerja di kebun, kawasan pertanian, tapak binaan atau terdedah kepada lumpur dan air banjir.

Cabaran utama melioidosis ialah penyakit ini tidak hadir dengan satu tanda khusus yang mudah dikenal pasti.

Ia boleh muncul sebagai pneumonia, demam berpanjangan, jangkitan serius dalam darah, abses pada organ tertentu atau penyakit yang kelihatan seperti jangkitan biasa.

Dalam sesetengah keadaan, gambaran klinikalnya boleh bertindih dengan penyakit lain sehingga diagnosis awal menjadi sukar.

Atas sebab itulah melioidosis sering digambarkan sebagai “great mimicker” atau penyakit yang pandai menyamar.

Bagi pesakit, batuk dan demam mungkin dianggap sebagai selesema atau jangkitan paru-paru biasa.

Bagi petugas kesihatan pula, simptom yang sama boleh berpunca daripada pelbagai keadaan lain yang lebih kerap ditemui.

Masalahnya timbul apabila penyakit terus berkembang sedangkan rawatan awal tidak memberikan tindak balas seperti yang diharapkan.

Pada ketika itu, persoalan yang lebih terperinci perlu ditanya: adakah pesakit mempunyai faktor risiko tertentu, pernah terdedah kepada tanah atau air, atau baru melalui pengalaman seperti banjir, kerja pertanian atau aktiviti luar?

Salah satu faktor risiko penting melioidosis ialah diabetes mellitus. Individu dengan penyakit buah pinggang kronik atau keadaan kesihatan tertentu yang melemahkan pertahanan badan juga lebih mudah mengalami jangkitan yang serius.

Justeru, sejarah penyakit kronik tidak seharusnya dilihat sebagai maklumat sampingan semata-mata apabila seseorang hadir dengan demam atau pneumonia yang teruk.

Di sinilah kesedaran masyarakat memainkan peranan. Seorang pesakit mungkin tidak menyangka bahawa aktiviti membersihkan halaman selepas banjir, berkebun tanpa perlindungan sesuai atau berjalan dalam kawasan berlumpur boleh menjadi maklumat penting untuk dikongsi dengan doktor.

Perkara yang kelihatan kecil bagi pesakit kadangkala membantu petugas kesihatan membina gambaran klinikal yang lebih lengkap.

Namun kesedaran ini tidak bermaksud masyarakat perlu melakukan diagnosis sendiri. Tugas orang awam ialah mengenali risiko dan memberikan maklumat yang relevan apabila mendapatkan rawatan.

Jika seseorang mempunyai diabetes, mengalami demam atau pneumonia yang serius dan baru terdedah kepada lumpur, tanah atau air banjir, sejarah tersebut wajar dimaklumkan kepada petugas kesihatan.

Apabila Banjir Surut, Risiko Kesihatan Masih Perlu Diperhatikan

Selepas banjir, perhatian masyarakat lazimnya tertumpu kepada kerosakan rumah, bekalan makanan, kebersihan air dan beberapa penyakit berjangkit yang lebih dikenali.

Namun hubungan antara persekitaran dengan kesihatan manusia jauh lebih luas daripada apa yang dapat dilihat selepas air mula surut.

Tanah, lumpur dan air tercemar boleh membawa risiko yang berbeza kepada individu yang mempunyai tahap kerentanan yang berbeza.

Ini tidak bermaksud setiap orang yang terdedah kepada banjir akan mendapat melioidosis. Risiko sebenar bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk keadaan kesihatan individu dan jenis pendedahan yang berlaku.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai diabetes atau penyakit kronik tertentu, kewaspadaan tambahan boleh membantu mengurangkan kelewatan mendapatkan rawatan.

Dalam konteks ini, melioidosis juga menunjukkan mengapa kesihatan manusia tidak boleh dipisahkan sepenuhnya daripada keadaan persekitaran.

Konsep One Health mengingatkan kita bahawa kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar saling berkait.

Hujan lebat, perubahan tanah, aktiviti pertanian dan banjir bukan sekadar isu persekitaran, tetapi boleh mempunyai implikasi kepada kesiapsiagaan kesihatan masyarakat.

Cabaran melioidosis tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada bahu pesakit. Kesedaran perlu berlaku pada beberapa peringkat secara serentak supaya petunjuk yang penting tidak terlepas.

Masyarakat perlu mengetahui faktor risiko, petugas kesihatan memerlukan tahap kecurigaan klinikal yang sesuai, manakala makmal memainkan peranan penting dalam mengenal pasti organisma dengan tepat.

Dalam situasi klinikal, gabungan beberapa petunjuk sering lebih bermakna berbanding satu simptom semata-mata.

Seorang pesakit dengan diabetes, pneumonia yang semakin teruk dan sejarah pendedahan kepada lumpur memberi gambaran yang berbeza berbanding seseorang yang hanya mengalami batuk biasa.

Keupayaan menghubungkan titik-titik ini boleh membantu mempercepatkan pertimbangan terhadap diagnosis yang mungkin terlepas.

Rawatan melioidosis juga tidak sama seperti jangkitan ringan yang selesai selepas beberapa hari antibiotik.

Pengurusannya lazimnya memerlukan fasa rawatan awal yang intensif, diikuti rawatan susulan yang lebih panjang bagi mengurangkan risiko penyakit berulang.

Hakikat ini menunjukkan mengapa diagnosis awal, pematuhan rawatan dan pemantauan pesakit sama-sama penting.

Kesedaran tidak seharusnya menimbulkan ketakutan.

Sebaliknya, ia perlu membantu masyarakat membuat keputusan yang lebih baik apabila berdepan situasi berisiko.

Empat langkah praktikal boleh diambil:

Pertama, individu yang mempunyai diabetes atau penyakit kronik tertentu perlu lebih berhati-hati apabila terdedah kepada tanah, lumpur atau air banjir.

Kedua, sejarah pendedahan kepada persekitaran perlu dimaklumkan kepada petugas kesihatan apabila mendapatkan rawatan, walaupun maklumat itu kelihatan tidak
berkaitan pada pandangan pertama.

Ketiga, demam atau jangkitan yang semakin teruk dan tidak pulih seperti dijangka tidak harus dipandang ringan, khususnya dalam kalangan individu berisiko tinggi.

Keempat, pendidikan kesihatan berkaitan melioidosis perlu diperkukuh dalam komuniti yang terdedah, terutama semasa musim hujan, banjir dan aktiviti yang melibatkan tanah atau air.

Melioidosis bukanlah penyakit baharu, namun risiko jangkitan dan kelewatan mengenal pastinya masih menjadi cabaran hingga hari ini.

Kita mungkin tidak dapat menghapuskan bakteria ini daripada tanah dan air, tetapi kita boleh mengurangkan risiko diagnosis lewat melalui kesedaran yang lebih baik, komunikasi yang jelas dan pengenalpastian faktor risiko sejak awal.

Bagi penyakit yang pandai menyamar, kadangkala perbezaan paling penting bukanlah teknologi yang paling canggih, tetapi soalan yang tepat pada masa yang tepat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Aniza Pakeer Oothuman
Pensyarah Mikrobiologi
Pejabat Komunikasi Strategik
Jabatan Sains Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.