Formula optimumkan pengangkutan hasil pertanian lebih mampan

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kos logistik tinggi adalah faktor utama menaikkan harga hasil pertanian, memerlukan penyelesaian pada tahap rantaian bekalan.
  • Model pengoptimuman matematik membantu merancang laluan, jadual penghantaran dan penggunaan kapasiti kenderaan secara sistematik berasaskan data.
  • Pelaksanaan model meningkatkan penggunaan kapasiti lori, mengurangkan bilangan perjalanan, penggunaan bahan api dan pelepasan karbon.
  • Transformasi digital dan analitik perlu diperluaskan untuk membina rantaian bekalan makanan yang lebih pintar, mampan dan menyokong keterjaminan makanan.

Di tengah-tengah tekanan kos sara hidup semasa serta pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan api seperti diesel dan petrol, lonjakan harga makanan segar terus menjadi perhatian utama rakyat Malaysia.

Isu keterjaminan makanan (food security) dan kesejahteraan rakyat ini amat selari dengan gagasan Malaysia MADANI serta agenda kerajaan di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).

Kedua-dua dasar ini menekankan kepentingan mewujudkan rantaian bekalan makanan yang berdaya tahan, cekap, berproduktiviti tinggi serta mampu menghadapi cabaran perubahan iklim, gangguan bekalan global dan peningkatan kos operasi.

Masih ramai beranggapan masalah keterjaminan makanan ini berpunca daripada kekurangan hasil pertanian semata-mata. Namun, salah satu faktor utama yang menyebabkan harga sayur-sayuran dan buah-buahan meningkat adalah kos logistik yang tinggi dalam keseluruhan rantaian bekalan.

Kos pengangkutan hasil pertanian dilaporkan boleh mencecah sehingga 40% hingga 60% daripada keseluruhan perbelanjaan rantaian bekalan.

Perjalanan kenderaan yang tidak cekap, penggunaan laluan yang kurang optimum, penghantaran tanpa muatan penuh serta perjalanan berulang-alik yang tidak dirancang dengan baik bukan sahaja meningkatkan kos bahan api, malah menyebabkan pembaziran sumber dan peningkatan pelepasan gas rumah hijau di atmosfera.

Bagi menangani isu kritikal ini, satu pendekatan baharu diperlukan untuk memastikan proses pengangkutan hasil pertanian negara dapat dirancang secara lebih sistematik dan berasaskan data.

Pendekatan ini melibatkan penggunaan model pengoptimuman matematik yang mampu membantu pemain industri pertanian membuat keputusan terbaik berkaitan perancangan laluan, jadual penghantaran dan penggunaan kapasiti kenderaan.

Pengangkutan hasil pertanian di Malaysia mempunyai cabaran unik kerana barangan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan produk segar merupakan makanan mudah rosak yang mempunyai jangka hayat singkat.

Keadaan ini memerlukan sistem penghantaran yang pantas, tepat pada masa serta mampu mengekalkan kualiti produk sehingga sampai kepada pengguna.

Dalam rantaian bekalan biasa, agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memainkan peranan penting dalam mengumpul hasil pertanian daripada pelbagai Pusat Pengumpulan di kawasan luar bandar sebelum dihantar ke Pusat Pengagihan di kawasan bandar.

Bagaimanapun, proses merancang laluan terbaik, menentukan masa kutipan, mengagihkan jumlah muatan serta menyelaraskan lokasi pengumpulan yang berselerak merupakan cabaran besar.

Sekiranya pengurusan pengangkutan tidak dilakukan secara optimum, ia boleh menyebabkan lori bergerak dengan muatan tidak penuh, peningkatan kos operasi, kelewatan penghantaran serta risiko kerosakan hasil pertanian.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, satu model matematik pengoptimuman telah dibangunkan bagi menentukan strategi pengangkutan yang lebih cekap.

Model ini berfungsi dengan menganalisis kombinasi laluan terbaik, mengira jumlah muatan optimum daripada setiap pusat pengumpulan, serta menentukan penggunaan kenderaan yang paling efektif berdasarkan permintaan dan jarak perjalanan.

Melalui simulasi melibatkan pusat pengumpulan dan pusat pengagihan, model ini berjaya memastikan setiap lori beroperasi dengan tahap penggunaan kapasiti yang tinggi dan boleh mencapai 100% muatan penuh bagi setiap perjalanan.

Selain meningkatkan kecekapan operasi, pendekatan ini turut menyokong agenda kelestarian melalui konsep green logistics. Secara keseluruhannya, penggunaan model ini berpotensi mengurangkan bilangan perjalanan lori, mengurangkan penggunaan bahan api serta menurunkan pelepasan karbon.

Berdasarkan kajian pengoptimuman laluan, penjimatan penggunaan bahan api antara 10% hingga 20% dapat dicapai bergantung kepada struktur rangkaian pengangkutan dan corak permintaan.

Penjimatan kos logistik ini memberi kesan positif kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan. Petani berpotensi menikmati kos penghantaran yang lebih rendah dan akses pasaran yang lebih baik, manakala pengguna pula mendapat manfaat melalui kestabilan harga makanan segar.

Pada masa yang sama, penggunaan bahan api yang lebih cekap dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta menyokong komitmen negara ke arah pembangunan rendah karbon.
Transformasi digital dan penggunaan teknologi analitik seperti model pengoptimuman ini perlu diperluaskan dalam sektor pertanian negara.

Dengan menggabungkan data, teknologi dan kepakaran pengurusan logistik, Malaysia mampu membina sistem rantaian bekalan makanan yang lebih pintar, berdaya tahan dan mampan.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu menangani isu kos sara hidup, malah menjadi salah satu strategi penting dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan negara untuk jangka masa panjang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim
Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik
Universiti Utara Malaysia
E-mel: mk.irwan@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.