Cubaan seludup barangan sejuk beku RM380,426.4 di Serikin tumpas

Foto Sel Operasi Media 1 Div

SERIKIN, 3 September – Cubaan menyeludup pelbagai barangan basah sejuk beku bernilai RM380,426.44 ke Indonesia digagalkan Tentera Darat Malaysia dalam operasi di sini, pada malam Rabu.

Rampasan dibuat Briged Ketiga Infantri Malaysia menerusi Op Kering Parang hasil integrasi maklumat perisikan dan pasukan operasi.

Menurut kenyataan Sel Operasi Media Divisyen Pertama Infantri Malaysia, kegiatan berkenaan berkenaan dikesan menerusi penahanan sebuah lori yang bergerak dari arah laluan haram Kampung Sebobok menuju ke sempadan Malaysia-Indonesia kira-kira pukul 7 malam.

Kenderaan itu kemudian ditahan kira-kira 800 meter dari sempadan negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan yang dipandu lelaki warga tempatan itu membawa muatan barangan basah sejuk tanpa dokumen perjalanan atau dokumen pengesahan muatan yang sah, ” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Selain barangan sejuk beku, turut dirampas ialah wang tunai dalam mata wang ringgit Malaysia dan rupiah Indonesia, lori dan sebuah telefon bimbit.

Pemandu terbabit bersama keseluruhan barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan laporan polis dan siasatan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.