
SHAH ALAM, 3 September – Mahkamah Sesyen di sini, menangguhkan pertuduhan kes berkaitan rasuah membabitkan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) ke tarikh 24 September ini.
- Tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menerima rawatan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya sejak 31 Ogos.
- Peguam bela kemukakan surat pengesahan doktor; tertuduh alami sakit dada dan sedang menjalani angiogram, tempoh pemulihan belum dapat dipastikan.
- Isteri tertuduh hadir prosiding; beberapa individu ditahan SPRM termasuk orang kenamaan dijangka didakwa berkaitan siasatan RCI TH.
Hakim Awang Keris Nada Awang Mahmud membuat keputusan itu selepas mahkamah dimaklumkan tertuduh tidak dapat hadir kerana sedang menerima rawatan jantung.
Peguam belanya, Wan Azman Aiman Wan Fakhruddin memberitahu, tertuduh sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 31 Ogos lalu.
Pihak peguam bela telah mengemukakan surat pengesahan doktor kepada mahkamah berhubung keadaan kesihatan anak guamnya.
“Tertuduh mengalami sakit dada dan sedang menjalani prosedur angiogram bagi mengenal pasti keadaan kesihatannya serta rawatan lanjut yang diperlukan.
“Buat masa ini, tempoh rawatan dan jangka masa tertuduh untuk pulih masih belum dapat dipastikan,” menurut Wan Azman Aiman.
Isteri tertuduh turut hadir bagi mengikuti prosiding berkenaan.
Terdahulu, beberapa individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk orang kenamaan, bagi membantu siasatan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dijangka didakwa di mahkamah pada Khamis dan Jumaat.