
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Malaysia menyumbang AS$150,000 (kira-kira RM606,750) kepada Venezuela bagi menyokong usaha bantuan, pemulihan dan pembangunan semula susulan kejadian gempa bumi pada 24 Jun lalu.
- Sumbangan diserahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Datuk Syed Mohamad Hasrin, kepada Duta Besar Venezuela dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur.
- Kementerian Luar menyifatkan sumbangan itu sebagai tanda solidariti dan sokongan untuk bantuan, pemulihan serta pembangunan semula kawasan terjejas.
- Malaysia menghulurkan ucapan takziah kepada kerajaan dan keluarga mangsa serta menegaskan komitmen terhadap usaha bantuan kemanusiaan antarabangsa.
Sumbangan itu disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Kementerian Luar, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin kepada Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Radamés Jesús Gómez Azuaje, dalam satu majlis di sini, hari ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan sumbangan berkenaan merupakan tanda solidariti dan sokongan berterusan Malaysia kepada kerajaan serta rakyat Venezuela yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Pada majlis sama, Datuk Syed Mohamad Hasrin turut menyampaikan ucapan takziah Malaysia kepada kerajaan dan rakyat Venezuela, khususnya keluarga mangsa serta mereka yang terjejas akibat gempa bumi itu.
“Malaysia komited terhadap usaha bantuan kemanusiaan antarabangsa, selain berharap sumbangan berkenaan dapat membantu proses pemulihan dan pembangunan semula kawasan yang terjejas,” menurut kenyataan itu lagi.
Malaysia turut menegaskan kesediaannya untuk terus menyokong usaha kemanusiaan antarabangsa serta menangani krisis kemanusiaan berlandaskan semangat kerjasama antarabangsa.