Gajah liar “Sulong Chalil” dipindahkan ke Taman Negara Terengganu

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 2 SeptGajah liar jantan dikenali “Sulong Chalil” berjaya dipindahkan ke Taman Negara Terengganu hari ini, selepas operasi menyelamat dan pemindahan dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berikutan kehadirannya di sekitar Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemindahan melalui pintu masuk Tasik Kenyir ke habitat hutan semula jadi sesuai untuk gajah liar.
  • Langkah bertujuan menyediakan persekitaran lebih selamat, mengurangkan konflik manusia dan risiko kemalangan jalan raya.
  • PERHILITAN memantau sejak 17 Ogos termasuk kecederaan pada kaki kanan dan memberi rawatan veterinar.
  • Operasi menangkap semula berjaya 30 Ogos; pemindahan 1 September disokong PDRM dan dua gajah denak.

Menurut kenyataan PERHILITAN, pemindahan itu dilakukan melalui pintu masuk Tasik Kenyir yang merupakan kawasan habitat hutan semula jadi sesuai untuk gajah liar.

“Langkah berkenaan bertujuan menyediakan persekitaran lebih selamat bagi Sulong, selain mengurangkan risiko konflik dengan manusia serta kemalangan jalan raya,” katanya.

PERHILITAN sebelum ini memantau rapi pergerakan dan keadaan fizikal Sulong sejak 17 Ogos lalu termasuk kecederaan pada kaki kanannya.

“Sebagai gajah jantan dewasa, pergerakan Sulong secara bersendirian merupakan tingkah laku semula jadi dan bukannya penanda terpisah daripada kumpulan atau sedang mencari keluarganya.

“Selepas menilai aspek keselamatan, lokasi dan tahap kesihatan Sulong, operasi menangkap semula telah berjaya dilaksanakan pada 30 Ogos lalu di kawasan JRTB, Gerik,” menurut kenyataan itu.

Proses pemindahan kemudian dijalankan pada 1 September dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan dua ekor gajah denak, Rambai dan Cheri.

Sepanjang operasi, Sulong turut menerima pemantauan dan rawatan veterinar dengan kecederaan pada kaki kanannya menunjukkan perkembangan positif.

PERHILITAN memaklumkan rawatan susulan akan diteruskan mengikut penilaian pegawai veterinar, selain menegaskan kebajikan Sulong serta keselamatan orang awam dan anggota operasi kekal sebagai keutamaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.