
PUTRAJAYA 2 September – Seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai terlibat dalam insiden provokasi pada sambutan Hari Kebangsaan ke-69 pada Isnin, direman satu hari bermula hari ini.
- Tindakan provokasi tular: lelaki cuba melompat pagar masuk tempat duduk semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.
- Disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
- Ujian air kencing positif THC; individu juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Perintah reman itu dikeluarkan Masjistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Lelaki tersebut dilihat memakai baju berwarna coklat menundukkan kepala sambil diiringi pihak polis keluar meninggalkan perkarangan mahkamah sekitar pukul 11 pagi.
Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Lelaki tersebut turut disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, setelah ujian air kencing didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Pada Selasa Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed meminta individu tersebut tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.
Isnin lalu, tular di media sosial tindakan seorang lelaki yang mencetuskan provokasi apabila cuba melompat pagar untuk masuk ke tempat duduk, ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.