Semak kandungan sebelum ditayangkan, JAKIM digesa perkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan

Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 2 September – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digesa memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan, bagi menyemak kandungan serta mengambil tindakan susulan terhadap kandungan media yang akan ditayangkan kepada umum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bahan tontonan mesti mematuhi Garis Panduan Penapisan Kandungan Berunsur Islam dan peruntukan undang-undang sedia ada.
  • Langkah ini penting untuk memastikan kandungan disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama Islam.
  • Penayangan drama 'Madu atau Racun' ditolak berikutan menimbulkan keresahan dan kontroversi dalam masyarakat.
  • Penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran diseru bertanggungjawab dan menjadikan garis panduan rasmi sebagai rujukan utama.

Tegas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulfikfli Hasan dalam kenyataan memaklumkan, bahan tontonan yang disiarkan di platform umum perlu mematuhi Garis
Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam serta peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, langkah tersebut penting dalam memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama Islam.

“Sehubungan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama “Madu atau Racun” yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Beliau dalam kenyataanya turut melahirkan rasa kesal terhadap kandungan drama berkenaan yang menerapkan elemen menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan termasuk pemaparan gaya hidup songsang.

Pada masa sama, beliau menyeru semua penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran agar sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi yang ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.