Pengoptimuman logistik pacu transformasi industri pembinaan

Imej janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelemahan pengurusan logistik dan penghantaran bahan binaan menyebabkan kelewatan, pembaziran dan kenaikan kos projek.
  • Model matematik VMI memastikan penghantaran tepat masa, kuantiti sesuai dan laluan kenderaan dioptimumkan mengurangkan kos inventori dan pengangkutan.
  • Pendigitalan, AI, IoT dan analitik diperlukan; sokongan dasar dan ekosistem memudahkan penggunaan teknologi oleh kontraktor kecil.
  • Kerjasama universiti, kerajaan, syarikat logistik dan industri penting untuk pemindahan teknologi, latihan dan aplikasi kepada kontraktor pelaksana.

Setiap kali projek pembinaan seperti sekolah, hospital, jalan raya atau rumah mampu milik mengalami kelewatan, perhatian umum sering tertumpu kepada isu kewangan, kekurangan tenaga kerja atau cuaca.

Namun, satu faktor yang kurang diberi perhatian ialah kelemahan dalam pengurusan logistik dan penghantaran bahan binaan.

Hakikatnya, bahan binaan yang tiba terlalu awal menyebabkan tapak projek menjadi sesak, meningkatkan risiko kerosakan dan pembaziran. Sebaliknya, jika bahan binaan tiba lewat, kerja pembinaan akan tergendala, sekali gus meningkatkan kos projek.

Masalah ini akhirnya memberi kesan kepada kerajaan, kontraktor dan rakyat yang menunggu kemudahan awam disiapkan.

Bagi menangani isu kritikal ini, satu model matematik dibangunkan untuk mengoptimumkan penghantaran bahan binaan menggunakan konsep Vendor Managed Inventory (VMI).

Melalui pendekatan ini, pembekal bukan sahaja menghantar bahan binaan, malah turut bertanggungjawab merancang kuantiti, masa penghantaran dan laluan kenderaan yang paling efisien berdasarkan keperluan sebenar di tapak pembinaan.

Pendekatan ini berbeza daripada kaedah tradisional yang bergantung kepada pesanan kontraktor. Sebaliknya, sistem ini menggunakan data inventori secara masa nyata untuk memastikan bahan dihantar tepat pada masa, dalam kuantiti yang mencukupi dan melalui laluan yang paling efisien.

Kaedah ini menunjukkan bahawa penyusunan laluan dan penggunaan kapasiti kenderaan secara optimum mampu mengurangkan kos pengangkutan dan kos penyimpanan inventori secara serentak.

Keperluan kepada logistik pintar menjadi semakin penting ketika Malaysia sedang memperhebat pembangunan infrastruktur melalui pelbagai projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta agenda pembangunan mampan negara.

Dalam keadaan kos bahan binaan yang masih tinggi dan tekanan terhadap produktiviti industri pembinaan, setiap penjimatan dalam rantaian bekalan mampu memberikan impak yang besar kepada keseluruhan kos projek.

Selain itu, sektor pembinaan turut digalakkan mempercepat pendigitalan selaras dengan Construction 4.0 Strategic Plan dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan penggunaan teknologi digital, automasi dan analitik data bagi meningkatkan produktiviti industri.

Model pengoptimuman seperti ini merupakan contoh bagaimana penyelidikan universiti boleh diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi nilai tambah kepada industri.

Dari sudut kelestarian pula, penghantaran yang dirancang dengan lebih cekap membawa manfaat kepada alam sekitar.

Apabila laluan kenderaan dioptimumkan dan kapasiti lori dimanfaatkan sepenuhnya, bilangan perjalanan dapat dikurangkan. Ini bukan sahaja menjimatkan penggunaan bahan api, malah mengurangkan pelepasan karbon serta kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan pembinaan.

Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon yang lebih rendah serta memperkukuh agenda Environmental, Social and Governance (ESG) dalam sektor pembinaan.

Lebih penting, manfaatnya kembali kepada rakyat kerana projek yang disiapkan mengikut jadual bermakna pelajar dapat menggunakan sekolah baharu lebih awal, pesakit memperoleh kemudahan hospital tanpa kelewatan, manakala pengguna menikmati jalan raya yang lebih selamat dan selesa.

Dalam keadaan kerajaan berusaha mengurus perbelanjaan secara berhemat, setiap penjimatan dalam kos logistik bermaksud lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan menggunakan sumber kewangan yang sama.

Malaysia sebenarnya tidak kekurangan kepakaran dalam bidang logistik, rantaian bekalan dan pengoptimuman operasi. Universiti tempatan telah lama menghasilkan pelbagai penyelidikan bertaraf antarabangsa yang menawarkan penyelesaian praktikal kepada industri.

Namun, cabaran sebenar ialah bagaimana hasil penyelidikan tersebut dapat diterjemahkan kepada amalan harian, khususnya oleh kontraktor kelas bawahan yang merupakan tulang belakang kepada sebahagian besar projek pembinaan di negara ini.

Golongan kontraktor ini sering berdepan kekangan modal, sumber manusia yang terhad dan tahap penggunaan teknologi yang masih rendah. Akibatnya, pengurusan penghantaran bahan binaan, inventori dan jadual kerja masih banyak bergantung kepada pengalaman serta keputusan secara manual.

Dalam keadaan harga bahan binaan yang tidak menentu dan kos operasi yang semakin meningkat, pendekatan sebegini sukar menjamin daya saing mereka dalam jangka panjang.

Seluruh sektor pembinaan perlu beralih daripada budaya menyelesaikan masalah selepas ia berlaku kepada budaya merancang secara lebih sistematik berasaskan data dan teknologi.

Penggunaan model pengoptimuman logistik tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang hanya sesuai untuk syarikat pembinaan berskala besar.

Sebaliknya, kontraktor kelas bawahan juga perlu diberikan akses kepada teknologi yang mudah digunakan, kos efektif dan bersesuaian dengan kemampuan mereka supaya dapat merancang penghantaran bahan binaan dengan lebih cekap, mengurangkan pembaziran serta mengawal kos sesuatu projek pembinaan.

Hubungan strategik antara universiti, agensi kerajaan, syarikat logistik dan pemain industri juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan teknologi dan hasil penyelidikan dapat dipindahkan kepada kontraktor melalui latihan, program pemindahan teknologi, pembangunan aplikasi digital serta khidmat nasihat teknikal.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan analitik data tidak semestinya memerlukan pelaburan yang tinggi jika disokong oleh dasar kerajaan dan ekosistem industri yang kondusif.

Dalam usaha memperkasakan agenda pendigitalan industri pembinaan, tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada kontraktor besar.

Sebaliknya, kontraktor kelas bawahan perlu diberi peluang yang sama untuk meningkatkan keupayaan pengurusan logistik kerana merekalah yang melaksanakan sebahagian besar kerja pembinaan di peringkat akar umbi.

Apabila mereka menjadi lebih cekap menguruskan kos, penghantaran dan inventori, bukan sahaja produktiviti syarikat dapat dipertingkatkan, malah lebih banyak projek dapat disiapkan mengikut jadual, sekali gus memberi manfaat kepada kerajaan, industri dan rakyat keseluruhannya.

Sebagai kesimpulannya, kejayaan sesebuah projek pembinaan bukan hanya bergantung kepada kekuatan konkrit atau kecanggihan reka bentuk, tetapi juga kepada kecekapan mengurus pergerakan setiap kenderaan, setiap penghantaran dan setiap unit bahan binaan.

Apabila logistik diurus secara lebih pintar, negara bukan sahaja menjimatkan kos, malah mempercepatkan pembangunan, meningkatkan produktiviti dan membina masa depan yang lebih mampan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim
Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik
Universiti Utara Malaysia
E-mel: mk.irwan@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.