Pelancongan Malaysia perlu lebih pintar

Masjid Lapan Kubah di Kampung Lapan Kotak, antara destinasi pelancongan terkenal di Terengganu/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu pendigitalan dan penggunaan AI untuk pengalaman pelancongan lebih mudah, pantas dan pintar.
  • Dasar dan pelaksanaan mesti inklusif supaya PMKS, inap desa dan komuniti turut mendapat akses teknologi dan latihan.
  • Keputusan perancangan destinasi perlu berasaskan data, dengan AI dan analitik untuk memantau permintaan dan aliran pelawat secara bertanggungjawab.
  • Tingkatkan modal insan: latihan kemahiran digital, analisis dan layanan tetamu, sambil mengekalkan kelestarian dan sentuhan hospitaliti Malaysia.

Destinasi pelancongan masa depan mungkin bukan hanya bergantung kepada tempat yang menarik, tetapi sejauh mana teknologi dapat menjadikan pengalaman melancong lebih mudah, pantas dan pintar.

Ketika komuniti pelancongan global menyambut Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2026 pada 27 September, tema “Agenda Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk Mereka Bentuk Semula Pelancongan” membuka ruang untuk industri pelancongan negara menilai semula hala tuju dan masa depannya dalam menghadapi persekitaran industri yang semakin mencabar.

Penggunaan AI, pendigitalan dan analitik data bukan lagi sekadar perkembangan teknologi, sebaliknya semakin mengubah cara pelancong mencari maklumat, merancang perjalanan, memilih destinasi dan membuat tempahan.

Bagi Malaysia, agenda ini perlu diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang mampu memperkukuh daya saing industri pelancongan.

Ini penting kerana sektor pelancongan kini berdepan pelbagai cabaran global termasuk ketidaktentuan geopolitik, gangguan penerbangan, perubahan tingkah laku pelancong dan peningkatan kos perjalanan.

Di sebalik cabaran global, industri pelancongan Malaysia masih menunjukkan daya tahan. Dalam tempoh enam bulan pertama 2026, negara merekodkan 21.12 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Persoalannya kini ialah bagaimana momentum itu dapat diperkukuhkan dalam persekitaran pelancongan yang semakin bergantung kepada teknologi dan data.

Dasar Perlu Ikut Perubahan

Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 sudah meletakkan pelancongan pintar, kelestarian, pembangunan modal insan, pelaburan dan tadbir urus sebagai antara keutamaan.

Apa yang diperlukan sekarang ialah pelaksanaan yang lebih jelas dan menyeluruh. Antara keutamaan ialah memastikan manfaat pendigitalan tidak hanya dinikmati pemain industri berskala besar.

Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), inap desa, pemandu pelancong dan pengusaha pelancongan berasaskan komuniti juga perlu diberi akses kepada teknologi digital, pembayaran tanpa tunai, platform dalam talian, serta latihan yang bersesuaian.

Pada masa yang sama, Malaysia perlu memperkukuh pembuatan keputusan berasaskan data (data-driven decision-making) dalam perancangan dan pengurusan destinasi.

Penggunaan AI dan analitik data boleh membantu mengenal pasti corak permintaan, memantau aliran pelawat, memahami pasaran serta membuat keputusan yang lebih tepat berkaitan infrastruktur dan pembangunan destinasi.

Dengan data yang tepat, pembuat dasar dan pemain industri boleh bertindak lebih pantas terhadap perubahan pasaran dan tingkah laku pelancong.

Bagaimanapun, penggunaan AI perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira perlindungan data, ketelusan dan akauntabiliti. Oleh itu, aspek modal insan juga tidak boleh diketepikan.

AI mungkin mengubah cara kerja dalam industri pelancongan, tetapi manusia tetap menjadi nadi kepada perkhidmatan pelancong dan hospitaliti.

Pekerja dalam bidang pelancongan perlu dilengkapi dengan kemahiran digital, analisis data dan penggunaan AI, tanpa mengabaikan kemahiran komunikasi, pemahaman budaya dan layanan kepada tetamu.

Justeru, kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan penting bagi memastikan pendidikan serta latihan pelancongan terus memenuhi keperluan industri.

Pendigitalan juga perlu bergerak seiring dengan kelestarian. Teknologi boleh membantu destinasi memantau jumlah pelawat, mengurus kesesakan, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan mengurangkan tekanan terhadap kawasan sensitif.

Matlamatnya bukan hanya untuk menarik lebih ramai pelawat, tetapi untuk memastikan pertumbuhan pelancongan dapat diurus dengan baik.

Selain itu, pelancongan juga perlu dilihat daripada aspek nilai, bukan sekadar jumlah ketibaan. Perbelanjaan pelawat, tempoh penginapan, penglibatan komuniti tempatan dan pengagihan manfaat ekonomi perlu diberi perhatian.

Pelancongan domestik menunjukkan potensi besar dalam hal ini. Pada suku pertama 2026, seramai 74.7 juta pelawat domestik direkodkan dengan perbelanjaan pelancongan berjumlah RM34 bilion, meningkat 15.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Angka ini menunjukkan bahawa pasaran domestik terus menjadi salah satu kekuatan utama industri pelancongan negara.

Justeru, diharapkan agar seluruh jentera kerajaan dan pemain industri meraikan perkembangan industri pelancongan selaras dengan sambutan WTD 2026 dengan memanfaatkan AI dan teknologi untuk membina masa depan yang lebih kukuh.

AI dan teknologi digital sangat berkesan dalam menjadikan pelancongan lebih cekap, responsif dan berasaskan data. Namun, pada masa yang sama, nilai manusia yang menjadi kekuatan hospitaliti Malaysia perlu dipertingkatkan.

Justeru, industri pelancongan perlu mengekalkan sentuhan hospitaliti rakyat Malaysia yang menjadi kekuatan negara, di samping terus berkembang menjadi lebih pintar, inklusif, lestari dan berdaya saing.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Akmal Adanan
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan
UiTM Cawangan Melaka
E-mel: akmaladanan@uitm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.