
KYIV, 2 September – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberi amaran bahawa ruang udara Rusia akan menjadi tidak selamat sepenuhnya serta dipenuhi dron Ukraine sepanjang tempoh perang.
- Zelensky memberi amaran kepada syarikat penerbangan, syarikat insurans dan pengguna lapangan terbang Rusia tentang keselamatan ruang udara.
- Ukraine menegaskan tidak mensasarkan penerbangan awam dan akan hentikan operasi dron jika diminta bagi tujuan diplomasi.
- Putin menyifatkan kenyataan itu sebagai pengisytiharan keganasan dan menolak rundingan dengan apa yang digelar pengganas.
- Serangan berterusan meningkatkan gangguan penerbangan Rusia, menyebabkan kematian di Kyiv dan melemahkan usaha diplomatik dipimpin Amerika Syarikat.
“Kami mahu memberi amaran kepada setiap syarikat penerbangan yang menggunakan ruang udara Rusia, setiap syarikat insurans dan semua pihak yang masih menggunakan lapangan terbang utama Rusia bahawa ruang udara Rusia semakin tidak selamat,” katanya .
Menurut beliau, Ukraine tidak mengancam penerbangan awam, sebaliknya ruang udara Rusia akan dipenuhi dron pada skala yang perlu diberi perhatian.
“Ukraine tidak mahu nyawa orang awam terkorban. Sebab itu kami memberi amaran kepada rakan-rakan kami bahawa hari-hari selamat di ruang udara Rusia sudah berakhir.
“Ruang udara yang dipenuhi dron bukan tempat untuk penerbangan awam,” katanya sambil menambah bahawa ruang udara Rusia kini adalah untuk dron selagi perang berterusan.
Bagaimanapun, Zelensky berkata, Ukraine akan menghentikan penerbangan dronnya di ruang udara Rusia sekiranya diminta oleh negara-negara rakan demi diplomasi dan rundingan untuk tempoh dan lokasi tertentu.
Sementara itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin, menyifatkan kenyataan Zelensky itu sebagai pengisytiharan keganasan negara.
“Mereka (Ukraine) meminta kami (Rusia) menyambung semula rundingan. Tetapi kami tidak berunding dengan pengganas,” tegas Putin dalam sidang media yang disiarkan menerusi televisyen.
Lebih empat tahun selepas Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine, Moscow dan Kyiv terus meningkatkan serangan antara satu sama lain.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh pada Selasa di Kyiv dan kawasan sekitarnya susulan serangan besar-besaran Rusia pada waktu malam.
Aktiviti penerbangan di lapangan terbang Rusia turut kerap terganggu susulan kehadiran dron Ukraine, yang jumlahnya meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Usaha diplomatik yang diterajui Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik itu pula terhenti sejak tercetusnya perang di Asia Barat pada Februari lalu. – AFP