
IPOH, 31 Ogos – Kira-kira 50,000 masyarakat berbilang kaum hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak 2026 di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh hari ini, yang turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
- Sultan Nazrin memeriksa kawalan kehormatan Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen di bawah pimpinan Mejar Mohamad Izuan Mohamed.
- Sebanyak 105 kontinjen membabitkan 5,884 peserta daripada jabatan kerajaan, pasukan beruniform, sekolah dan institusi pengajian tinggi.
- Kontinjen kenderaan melibatkan 16 penyertaan, 301 unit kenderaan dan 584 peserta daripada agensi kerajaan serta sektor swasta.
- Sultan Nazrin menyampaikan sumbangan kepada 11 wira negara dan hadiah kepada pemenang pertandingan Hari Kebangsaan peringkat negeri.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara pada 8.12 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada barisan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Divisyen, Kem Sangro, Taiping di bawah pimpinan Mejar Mohamad Izuan Mohamed.
Sebanyak 105 kontinjen membabitkan 5,884 peserta menyertai perarakan tahun ini, terdiri daripada jabatan kerajaan, pasukan beruniform, daerah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sekolah, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun serta sektor swasta.
Perarakan turut disertai lima pasukan pancaragam sekolah.
Sementara itu, kontinjen kenderaan membabitkan 16 penyertaan dengan 301 unit kenderaan dan 584 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.
Sambutan bermula 7.30 pagi dalam suasana meriah dengan kehadiran masyarakat daripada pelbagai kaum.
Usai acara perarakan, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Hadiah sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2026.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan sumbangan kepada 11 wira negara terdiri daripada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak 2026.