
KYIV, 29 Ogos – Sekurang-kurangnya 27 orang maut selepas sebuah dron Rusia menghentam sebuah gudang berhampiran pinggir barat Kyiv pada malam tadi, mencetuskan kebakaran besar dan beberapa letupan, menurut pihak berkuasa.
- Pendakwa raya percaya gudang menyimpan bahan letupan; siasatan dibuka atas kemungkinan kecuaian jenayah.
- Siasatan akan menyiasat kesahan penyimpanan bahan letupan dan sama ada syarikat mempunyai permit serta kelulusan diperlukan.
- Rusia dan Ukraine meningkatkan serangan jarak jauh, menyebabkan kebakaran lebih kerap dan lonjakan korban awam.
Pendakwa raya Ukraine berkata gudang berkenaan dipercayai menyimpan “bahan letupan”, sekali gus membuka siasatan berhubung kemungkinan kecuaian jenayah.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memberikan maklumat lanjut mengenai jenis kemudahan berkenaan.
Rusia dan Ukraine meningkatkan serangan jarak jauh antara satu sama lain sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menyebabkan lebih banyak kebakaran berlaku serta jumlah korban awam meningkat ke paras tertinggi.
“Malangnya, setakat ini 27 orang disahkan maut. Jumlah itu mungkin masih belum muktamad,” kata Gabenor wilayah Kyiv, Tymur Tkachenko.
Beliau berkata, antara yang maut ialah Datuk Bandar kampung Dmytrivska, Taras Didych.
Pendakwa raya Ukraine kemudiannya mengumumkan siasatan dibuka.
“Pada 28 Ogos kira-kira jam 8.10 malam (5.10 petang GMT), sebuah kenderaan udara tanpa pemandu terhempas atau menghentam kawasan sebuah perusahaan di bandar Myla,” menurut pejabat Pendakwa Raya Agung Ukraine.
Myla terletak di pinggir barat Kyiv.
“Kebakaran besar tercetus di kawasan perusahaan berkenaan dan letupan mula berlaku,” menurut kenyataan itu.
Siasatan akan memberi tumpuan kepada kesahihan penyimpanan bahan dan objek letupan di kawasan perusahaan, selain meneliti sama ada syarikat yang tidak dinamakan itu mempunyai permit dan kelulusan yang diperlukan. – AFP