
SEBERANG JAYA, 29 Ogos — Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM4.6 juta tahun ini bagi menaik taraf infrastruktur asas di 27 institusi pendidikan Islam di seluruh Pulau Pinang.
- Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM4.6 juta untuk menaik taraf prasarana 27 institusi pendidikan Islam di Pulau Pinang.
- Peruntukan disalurkan terus melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) supaya kerja naik taraf dapat dilaksanakan segera.
- Jumlah tahun ini lebih dua kali ganda berbanding RM2.11 juta tahun lalu yang menaik taraf 11 institusi.
- Tujuan naik taraf termasuk prasarana, tembok pagar dan kemudahan asas demi keselesaan pelajar serta sokongan kepada sekolah agama rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu disalurkan terus melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) agar kerja naik taraf dapat dilaksanakan dengan segera.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM2.11 juta yang disalurkan tahun lalu bagi menaik taraf 11 institusi pendidikan Islam di negeri itu.
“Peruntukan ini disalurkan terus melalui ICU untuk memastikan kerja-kerja naik taraf prasarana, tembok pagar serta kemudahan asas di maahad tahfiz dan madrasah dapat dilaksanakan dengan segera demi keselesaan anak-anak kita.
“Kita kembalikan semula bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat ini kerana kita mahu prasarana pendidikan Islam di peringkat akar umbi sentiasa terbela dan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran dan Tadabbur Mushaf Malaysia MADANI serta Ma’idah Wanita MADANI Peringkat Nasional di Masjid Al-Muhajirin, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia kini menjadi negara kedua terbesar di dunia dalam percetakan al-Quran selepas Arab Saudi.
Menurutnya, menerusi kerjasama Yayasan Restu, Malaysia menyasarkan pengedaran sejuta naskhah al-Quran dalam pelbagai terjemahan bahasa ke seluruh dunia sebagai pendekatan dakwah bil hal.
Beliau turut menegaskan Malaysia antara sebilangan kecil negara yang kerajaan secara terbuka menganjurkan pelbagai program bagi mengangkat martabat umat menerusi sektor ekonomi, pendidikan dan dakwah.