
KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Gara-gara mahu berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan, tujuh lelaki warga Yemen ditahan selepas terbabit dalam aksi pemanduan berbahaya di Jalan Sungai Besi pada 28 Ogos lalu.
- Penumpang mengeluarkan badan dan duduk di atas tingkap pintu ketika kenderaan sedang bergerak.
- Kejadian kira-kira 12.30 tengah malam melibatkan dua kenderaan dari Jalan Sungai Besi ke Jalan Bukit Bintang.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan; hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah malam, ketika dua kenderaan berkenaan bergerak dari Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Bukit Bintang.
Beliau berkata, penumpang kedua-dua kenderaan bertindak mengeluarkan badan serta duduk di atas tingkap pintu ketika kenderaan sedang bergerak.
“Tujuh lelaki warga Yemen berusia antara 23 hingga 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Lima daripada mereka adalah pelajar universiti awam di Kedah, manakala dua lagi merupakan lepasan universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, hasil soal siasat mendapati tindakan itu dilakukan semata-mata untuk berseronok bagi meraikan perkahwinan seorang rakan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.