
PUTRAJAYA, 28 Ogos – Seramai 36 rakyat Malaysia yang berada di Tibet, China dilaporkan selamat daripada kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan bersempadan Nepal-China.
- Identiti dan status warga negara sedang dalam pengesahan oleh pihak berkuasa China sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
- Kementerian menjalankan semakan silang dengan senarai di Nepal dan memperluas skop penyelarasan ke kawasan sempadan China.
- Bilik Operasi Wisma Putra beroperasi 24 jam, menyelaraskan bantuan bersama MKN, NADMA, SMART dan ATM; maklumat hanya diumum selepas disahkan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata bagaimanapun, identiti dan status mereka masih dalam proses pengesahan dengan pihak berkuasa China.
Beliau berkata kementerian turut menjalankan semakan silang bagi menentukan sama ada terdapat pertindihan antara 36 individu berkenaan dengan senarai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi di Nepal.
“Kita sedang buat pemeriksaan silang sebab maklumat ini baharu kita terima… nanti kita akan kemas kini kalau ada nama yang sama termasuk angka sebenar rakyat kita yang masih hilang ataupun yang sudah selamat, baik di Nepal ataupun di Tibet,” katanya kepada Bernama hari ini.
Syed Mohamad Hasrin berkata susulan maklumat itu, skop penyelarasan kementerian kini diperluas merangkumi kawasan di sebelah sempadan China.
Beliau berkata penyelarasan turut dilaksanakan bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi berikutan maklumat bahawa terdapat rakyat negara ini yang mungkin mengikuti laluan perjalanan melibatkan China dan India.
Syed Mohamad Hasrin berkata Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya akan terus beroperasi 24 jam sehari bagi menyelaras maklumat, membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan memberikan perkembangan terkini kepada ahli keluarga.
Beliau berkata pihaknya akan terus mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa China berhubung kedudukan dan keselamatan rakyat Malaysia di Tibet sebelum membuat sebarang kesimpulan lanjut.
Menyentuh mengenai kemungkinan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, Syed Mohamad Hasrin berkata perkara itu perlu diselaras dengan pihak berkuasa Nepal dan pengendali pelancongan termasuk memastikan status dokumen perjalanan mereka sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Bagaimanapun, beliau berkata keutamaan ketika ini ialah mengesan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di kawasan terjejas selain mengambil kira keadaan cuaca serta akses yang masih terhad.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Mohamad Hasrin berkata Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang menyelaras serta menilai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada Nepal.
Beliau berkata sebarang bantuan akan mengambil kira keperluan yang dikenal pasti oleh Kerajaan Nepal serta tertakluk kepada pertimbangan MKN, penerimaan dan keutamaan kerajaan negara itu melalui saluran rasmi.
Syed Mohamad Hasrin juga berkata setakat ini, pihak Nepal memaklumkan bahawa mereka mempunyai persediaan mencukupi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat manakala bentuk bantuan yang diperlukan mungkin melibatkan sumber kewangan serta bantuan lain.
Malaysia telah menyatakan kesediaan untuk membantu sekiranya pihak berkuasa Nepal memerlukan sokongan tambahan.
Kementerian Luar turut menilai kesiapsiagaan agensi Malaysia termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) manakala Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menyatakan kesediaan untuk membantu, sekiranya diperlukan.
Syed Mohamad Hasrin juga berkata selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kementerian akan terus menyalurkan maklumat terkini yang telah disahkan kepada ahli keluarga rakyat Malaysia yang terjejas.
“Pada masa sama, pihak media dan orang awam diminta supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, dan sebaliknya merujuk kepada kenyataan rasmi Kementerian Luar bagi mendapatkan perkembangan terkini.
“Kementerian akan terus memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa, tertakluk kepada maklumat yang telah disahkan,” katanya.
Semalam, Sultan Ibrahim menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan sewajarnya berhubung rakyat Malaysia yang terjejas susulan kejadian banjir besar di Rasuwa, Nepal.
Seri Paduka Baginda menitahkan supaya maklumat terkini mengenai keselamatan dan keberadaan mereka disalurkan kepada ahli keluarga masing-masing.- BERNAMA