
OSLO, 28 Ogos – Raja Norway, Harald V, mangkat pada usia 89 tahun pada Jumaat, sekali gus mencetuskan proses peralihan takhta mengikut Perlembagaan dan protokol diraja negara itu.
- Putera Mahkota Haakon otomatis menjadi Raja Haakon VIII dan mengekalkan semboyan diraja 'All for Norway'.
- Raja Haakon dijangka mengangkat sumpah di hadapan Parlimen dalam beberapa hari mengikut keperluan Perlembagaan.
- Puteri Ingrid Alexandra berusia 22 tahun kini menjadi Puteri Mahkota dan boleh menjadi pemangku raja jika diperlukan.
Putera Mahkota Haakon, 53 tahun, yang selama ini menjalankan tugas sebagai pemangku raja ketika bapanya gering, secara automatik menjadi Raja Norway selepas kemangkatan Harald.
Menerusi mesej yang diterbitkan oleh kerajaan, baginda memilih nama Raja Haakon VIII dan turut mengekalkan semboyan diraja yang digunakan oleh bapanya, datuk dan moyangnya, iaitu “All for Norway”.
“Saya akan menggunakan nama Haakon VIII dan meneruskan semboyan yang sama seperti dipilih oleh bapa, datuk dan moyang saya: ‘All for Norway’,” titah baginda.
Dalam beberapa hari akan datang, Raja Haakon dijangka mengangkat sumpah di hadapan Parlimen Norway.
Mengikut Perlembagaan Norway, baginda perlu mengisytiharkan ikrar untuk memerintah negara berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang.

Sebagai perbandingan, Raja Harald mengangkat sumpah empat hari selepas kemangkatan bapanya, Raja Olav V pada 1991.
Susulan Haakon menaiki takhta, anak perempuannya, Puteri Ingrid Alexandra, 22 tahun, pula secara automatik menjadi Puteri Mahkota.
Baginda juga boleh menjalankan tugas sebagai pemangku raja bagi pihak Haakon sekiranya diperlukan.
Buat masa ini, tarikh pemakaman Raja Harald masih belum diumumkan.
Sebelum ini, bapanya, Raja Olav, dikebumikan pada 30 Januari 1991, iaitu 13 hari selepas kemangkatannya.
Raja Haakon juga berkemungkinan memilih untuk mengadakan upacara pengudusan pemerintahannya di Katedral Nidaros di Trondheim, seperti yang pernah dilakukan oleh bapa dan datuknya.
Raja Norway pernah ditabalkan di katedral itu antara 1814 hingga 1906 sebelum upacara pertabalan dimansuhkan pada 1908.
Bagaimanapun, Raja Olav memperkenalkan semula upacara pengudusan pada 1958.
Upacara pengudusan Raja Harald dan Permaisuri Sonja pula berlangsung pada 23 Jun 1991. – AFP