
TIBET, 28 Ogos – Perdana Menteri China, Li Qiang, mengarahkan pelan operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Gyirong, wilayah autonomi Xizang, disusun secara saintifik dan dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengesan mereka yang masih hilang.
- Lima disahkan maut dan 558 masih hilang susulan kejadian tanah runtuh.
- Li tiba di lokasi, meninjau operasi dan bertemu anggota penyelamat serta penduduk dipindahkan.
- Arahan membaik pulih jalan, komunikasi dan bekalan elektrik segera untuk memulihkan akses operasi.
- Perlu tingkatkan penyelarasan pasukan, sistem amaran cuaca dan pemantauan geologi serta langkah pencegahan wabak.
Li berkata, segala usaha perlu dilakukan untuk mencari mangsa, selagi masih ada harapan, selepas bencana melanda Pelabuhan Sempadan Gyirong pada Rabu lalu.
Setakat ini, lima orang disahkan maut manakala 558 lagi masih hilang susulan kejadian berkenaan.
Li tiba di kawasan bencana pada petang Khamis bagi meninjau operasi menyelamat serta bertemu anggota penyelamat dan penduduk yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara.
Lawatan itu dilakukan atas arahan Presiden China, Xi Jinping, bagi membimbing usaha menyelamat dan tindak balas kecemasan susulan bencana berkenaan.
Beliau turut mengarahkan supaya infrastruktur yang rosak, termasuk jalan raya, kemudahan komunikasi dan bekalan elektrik, dibaiki dengan segera bagi memulihkan akses ke kawasan bencana dan memudahkan operasi menyelamat.
Ketika meninjau pusat arahan operasi di barisan hadapan, Li menggesa penyelarasan antara anggota dan peralatan penyelamat diperkukuh serta arahan operasi di lokasi dilaksanakan secara bersepadu.
Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai status semua individu yang masih hilang.
Pada masa sama, pemantauan, ramalan dan sistem amaran awal berkaitan cuaca, hidrologi serta keadaan geologi di kawasan terjejas dan sekitarnya perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan risiko bencana susulan.
Langkah pencegahan wabak dan pembasmian kuman juga perlu dilaksanakan bagi melindungi penduduk serta anggota penyelamat.
Li turut mengarahkan maklumat berkaitan bencana dan operasi menyelamat disampaikan secara terbuka, telus dan tepat pada masanya.
Dalam pada itu, usaha tindak balas kecemasan membabitkan warga asing perlu diperkukuh, termasuk melalui komunikasi dan penyelarasan dengan pihak berkaitan bagi mengesahkan status individu asing yang masih hilang serta menguruskan urusan susulan.
Li berkata, China masih berada dalam musim banjir dan berdepan keadaan mencabar serta kompleks susulan ancaman banjir dan taufan. – REUTERS