Kolaborasi strategik semarakkan sambutan HKHM 2026

Setiausaha Bahagian, Bahagian Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi, Kamarudin Abdul Rani (kiri) dan Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Dr. Prodyut Dutt – Foto RTM

PUTRAJAYA, 28 Ogos – Tajaan sektor korporat dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 meningkat lebih dua kali ganda kepada RM50.6 juta, berbanding RM20.3 juta tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan korporat dan GLC/GLIC mencerminkan kebersamaan serta perkongsian manfaat bersama rakyat dalam sambutan HKHM 2026.
  • Prasarana menyediakan kemudahan pengangkutan awam bagi memudahkan orang ramai hadir ke lokasi sambutan.
  • Perkhidmatan Merdeka Shuttle percuma disediakan dengan dua laluan utama, bertujuan memudahkan akses ke Dataran Putrajaya.
  • Pengoperasian shuttle diatur untuk mengurangkan masalah parkir dan kesesakan serta meningkatkan penyertaan generasi muda dalam acara.

Daripada jumlah itu, RM2.7 juta merupakan sumbangan tunai, manakala selebihnya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi, Kamarudin Abdul Rani berkata, peningkatan penajaan itu mencerminkan kebersamaan GLC, GLIC dan sektor swasta dalam menjayakan sambutan serta berkongsi manfaat bersama rakyat.

“Ini menunjukkan bahawa kebersamaan dan kesejahteraan yang dinikmati itu dikongsikan bersama oleh syarikat GLC, GLIC dan swasta bersama-sama rakyat Malaysia dalam menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.”

Beliau berkata, kemudahan pengangkutan awam yang disediakan Prasarana antara usaha kerajaan bersama rakan strategik bagi memudahkan orang ramai hadir ke lokasi sambutan.

“Jadi, ini adalah salah satu yang disediakan oleh pihak Prasarana dan juga pihak kerajaan bagi memudahkan semua yang berminat untuk hadir ke sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus menyemarakkan sambutan tersebut dengan menggunakan perkhidmatan awam yang lebih mudah dan terjamin, serta sudah pasti sampai ke lokasi.”

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita Angkasapuri Kota Media.

Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Dr. Prodyut Dutt berkata, bagi menyemarakkan semangat patriotik, pihaknya menyediakan perkhidmatan ‘Merdeka Shuttle’ untuk memudahkan orang ramai hadir ke lokasi sambutan di Dataran Putrajaya.

Menurut beliau, tahun lalu perkhidmatan ‘Merdeka Shuttle’. merekodkan lebih 100,000 pengguna dan diteruskan tahun ini dengan melibatkan dua laluan utama.

“Kami menyediakan 103 bas dalam dua laluan yang kami panggil sebagai Merdeka Shuttle, iaitu dari stesen MRT Putrajaya Central ke Presint 2 dan juga dari PICC ke Presint 3. Kedua-dua shuttle ini adalah percuma,” katanya.

Merdeka Shuttle beroperasi dari 2 petang, 30 Ogos hingga 2 petang, 31 Ogos, manakala perkhidmatan transit Prasarana yang lain beroperasi seperti biasa mengikut tambang ditetapkan.

Kemudahan itu dijangka memudahkan orang ramai hadir ke lokasi sambutan, sekali gus membantu mengurangkan isu parkir dan kesesakan.

“Kami berharap dengan penyertaan ramai generasi muda dalam semua acara yang disediakan oleh kerajaan dan juga rakan-rakan strategik yang lain, semangat patriotik dan cinta kepada negara akan terus meningkat.”

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.