Lelaki mengamuk depan bank direman empat hari

Kejadian yang tular dalam media sosial mengenai lelaki yang mengamuk menggunakan senjata tajam di depan sebuah bank di Johor Bahru – Foto RTM

JOHOR BAHRU, 28 Ogos – Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan selepas dipercayai mengamuk sambil membawa senjata tajam di hadapan sebuah bank di Bandaraya Johor Bahru, Selasa lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Video tular di media sosial memaparkan lelaki memegang senjata dan melakukan provokasi terhadap anggota polis.
  • Dua anggota URB bergegas ke lokasi; suspek melarikan diri tetapi kemudian berjaya ditahan dengan bantuan anggota kereta peronda.
  • Saringan air kencing positif methamphetamine; suspek ada empat rekod lampau; direman empat hari; kes disiasat di bawah Seksyen 268, 290 dan 186.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memegang senjata dan melakukan provokasi terhadap anggota polis.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai kontraktor pada 25 Ogos lalu.

“Pengadu memaklumkan terdapat seorang lelaki mengamuk dengan membawa senjata tajam di hadapan sebuah bank kira-kira pukul 1.10 petang.”

“Susulan maklumat itu, dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Johor Bahru Selatan bergegas ke lokasi pada kira-kira pukul 1.13 petang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Suspek kemudian melarikan diri ke kawasan berhampiran sebelum berjaya ditahan dengan bantuan anggota kereta peronda.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Saringan awal air kencing mendapati, suspek positif methamphetamine,” katanya.

Suspek direman selama empat hari hingga Sabtu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan dihukum bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.