Tiga sindiket dadah tumpas, tujuh ditahan, dadah bernilai RM3.2 juta dirampas

Ketua Polis Negeri Pulau Pinang Datuk Dennis Lim berkata, pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta dirampas dalam beberapa siri operasi./ RTM

GEORGE TOWN, 28 Ogos – Tiga sindiket pengedaran dadah yang aktif di Pulau Pinang berjaya ditumpaskan menerusi beberapa siri serbuan yang membawa kepada penahanan tujuh individu serta rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dijalankan dari 15 hingga 22 Ogos oleh JSJN negeri bersama pasukan narkotik daerah.
  • Rampasan besar pelbagai dadah termasuk 38.3kg serbuk ganja, 11.5kg putik, 14kg methamphetamine, 16kg pil ekstasi dan 4,000 pil Erimin-5.
  • Pasangan suami isteri ditahan di Tanjung Tokong dipercayai mendapatkan bekalan ganja dari negara jiran sejak Mei untuk diedarkan.
  • Beberapa suspek direman di bawah Seksyen 39B, empat ujian air kencing positif morfin amphetamine methamphetamine; siasatan masih dijalankan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, operasi yang dijalankan dari 15 hingga 22 Ogos itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri bersama pasukan narkotik daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Operasi turut menyita kenderaan dan motosikal bernilai RM89,000.

Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan serta pemantauan yang dijalankan selama beberapa bulan.

Bagi sindiket di daerah Timur Laut, beliau berkata, ia dipercayai didalangi pasangan suami isteri berusia 26 dan 25 tahun yang mendapatkan bekalan ganja serta putik ganja dari negara jiran untuk diedarkan di Pulau Pinang.

“Sepasang suami isteri, lelaki berumur 26 tahun, wanita berumur 25 tahun, ditahan di kawasan Tanjung Tokong.

“Mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak Mei lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan di daerah Timur Laut pada 15 dan 16 Ogos, polis menahan empat individu, terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun.

Antara dadah yang dirampas./ RTM

Antara dadah yang dirampas ialah 38.3 kilogram serbuk ganja, 11.5 kilogram putik ganja, 14 kilogram methamphetamine, lima kilogram ketamin, 16 kilogram pil ekstasi serta 4,000 pil Erimin-5.

Sementara itu, dua lelaki berusia 23 dan 46 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di Butterworth pada 15 dan 19 Ogos.

Daripada kedua-dua serbuan itu, polis merampas masing-masing 3.25 kilogram dan 1.3 kilogram serbuk MDMA.

Lim berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek mendapatkan bekalan MDMA yang dibungkus dalam pelbagai paket minuman segera daripada satu rangkaian pengedaran sebelum menjualnya kepada pelanggan, terutama di pusat hiburan sekitar Pulau Pinang.

“Mereka dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu dan menjual serbuk MDMA pada harga bermula RM100.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang terbabit dalam memproses dan mengedar MDMA berkenaan,” katanya.

Dalam operasi berasingan di SPT pada 22 Ogos, seorang lelaki penganggur berusia 28 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam.

Polis menemui 8.5 kilogram serbuk MDMA, 1,755 pil ekstasi, 100 pil Erimin-5, 0.63 kilogram ketamin dan sembilan kartrij methamphetamine cecair dalam serbuan itu.

Suspek direman sehingga 29 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Dennis berkata, saringan air kencing mendapati empat daripada tujuh suspek positif morfin, amphetamine dan methamphetamine.

Pemeriksaan turut mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah dan kesalahan berkaitan dadah.

Beliau menegaskan ketiga-tiga kumpulan terbabit tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain kerana masing-masing beroperasi di kawasan berbeza.

“Ketiga-tiga kumpulan ini berbeza. Mereka adalah kumpulan berasingan yang beroperasi di kawasan berlainan,” katanya.

Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti anggota lain yang terbabit selain mengesan sumber serta rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.